Perkahwinan rentas sempadan perkara biasa

Masyarakat tidak perlu berasa curiga terhadap perkahwinan antara warga negara yang berbeza. Foto Pexels
Masyarakat tidak perlu berasa curiga terhadap perkahwinan antara warga negara yang berbeza. Foto Pexels
A
A
A

PUTRAJAYA - Kehadiran ramai jejaka Pakistan yang menjalankan perniagaan di negara ini, khususnya di Kelantan, menjadi antara faktor utama golongan tersebut berjaya menarik perhatian wanita tempatan.

Bagaimanapun, Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita, dan Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal menjelaskan bahawa perkara itu tidak perlu dibimbangkan kerana perkahwinan rentas sempadan adalah perkara yang biasa berlaku.

"Soal jodoh ini adalah ketentuan ALLAH SWT, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 17 Surah Al-Hujuraat," katanya.

Menurut beliau, terdapat pelbagai cara jodoh dapat ditemukan, sama ada melalui perjalanan atau pun dalam talian.

"Mungkin pada masa kini, bilangan warga Pakistan yang berada di Malaysia semakin ramai dan mereka menjalankan perniagaan. Hal ini tentunya menarik perhatian wanita tempatan," ujar beliau.

Beliau mengulas laporan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan yang menyatakan bahawa wanita di negeri tersebut kini menjadi pilihan jejaka dari Pakistan, manakala lelaki tempatan pula memilih wanita Thailand sebagai pasangan hidup.

Fenomena ini didorong oleh peningkatan permohonan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang bagi pasangan bukan warganegara yang melibatkan kedua-dua negara tersebut setiap tahun.

Menurut Noor Aziah, masyarakat tidak perlu merasa curiga terhadap perkahwinan antara warga negara yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya, tidak banyak kemudahan yang diperoleh oleh lelaki warga asing apabila berkahwin dengan wanita tempatan.

"Mereka bukan sahaja menghadapi sekatan untuk bekerja dalam tempoh dua tahun pertama selepas berkahwin, malah mereka hanya bebas bergerak dan, sekiranya menjalankan perniagaan, mereka perlu menggunakan nama isteri mereka," katanya.

Tambah beliau, jika terdapat sebarang penyalahgunaan sijil nikah untuk tujuan tertentu, isteri berkenaan boleh membuat laporan kepada pihak polis dan mahkamah syariah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!