Lelaki menyamar penghantar makanan nafi rompak empat wanita

MELAKA - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan melakukan rompakan terhadap empat wanita pada Februari dan April lalu.
Tertuduh, Ahmad Reezqan Jaliludin, 31, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Berdasarkan empat pertuduhan, dia didakwa telah melakukan rompakan ke atas harta milik Nila Afrila dan melarikan beg tangan yang mengandungi sebuah telefon bimbit serta barangan lain yang dianggarkan bernilai RM2,500.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 9.15 malam di lorong Jalan Rumah Pangsa Bachang Permai di sini pada 23 Februari lalu.
Tertuduh juga didakwa merompak tiga wanita lain iaitu Nohayati Hussin, 27; Tiow Poh Mee, 49; dan Maureen Chan Choo Neo, 70, di kaki lima pasar raya KipMall dan kawasan parkir Lotus Peringgit di sini pada 22 dan 23 April 2025.
Pendakwaan bagi kesemua kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan selain mencadangkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Tertuduh yang diwakili Peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan rendah bersama dua orang penjamin kerana kakaknya hanya bekerja sebagai kerani dan memperoleh pendapatan sebanyak RM2,500 sebulan, manakala isterinya merupakan suri rumah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM32,000 dengan dua orang penjamin.
Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sinar Harian pada April lalu melaporkan tindakan seorang lelaki dipercayai melakukan jenayah ragut dengan menyamar sebagai penghantar makanan berjaya dicekup dengan bantuan orang awam di Malim.
Dipercayai individu berusia 30-an itu berjaya dikejar oleh sekumpulan penghantar makanan dari sebuah pasar raya di Bachang hingga ke kawasan Malim.
Berdasarkan video tular berdurasi 46 saat itu, suspek berbaju hitam dilihat ditahan oleh beberapa individu yang juga pekerja penghantar makanan sebelum diserahkan kepada pihak polis yang hadir ke lokasi kejadian.
Menerusi video itu, beberapa individu mendakwa kegiatan suspek telah menjejaskan periuk nasi mereka sebagai penghantar makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!