Warga emas maut dirempuh kereta gara-gara tukar haluan mengejut

Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Lexus di Kilometer 2, Jalan Johor Bahru–Air Hitam menghala ke Skudai, awal pagi Isnin. Foto IPD Johor Bahru Selatan
Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Lexus di Kilometer 2, Jalan Johor Bahru–Air Hitam menghala ke Skudai, awal pagi Isnin. Foto IPD Johor Bahru Selatan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangi dirempuh sebuah kereta di Kilometer 2, Jalan Johor Bahru–Air Hitam menghala ke Skudai, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.40 pagi melibatkan mangsa berusia 67 tahun yang menunggang motosikal Honda EX5 dan seorang pemandu lelaki berusia 33 tahun.

“Siasatan awal mendapati ketika pemandu kereta bergerak di lorong kanan, mangsa yang berada di lorong tengah telah menukar haluan ke kanan secara tiba-tiba.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian sisi belakang motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke arah cermin depan sebelah kiri kereta sebelum terjatuh ke atas jalan. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan lanjut juga mendapati cukai jalan motosikal yang ditunggang mangsa telah tamat tempoh sejak 2019. Ujian pernafasan terhadap pemandu kereta pula menunjukkan bacaan negatif alkohol.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pihak polis kini sedang mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Hadi Ali di talian 019-5230102.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!