Warga emas maut lepas solat Jumaat

KAMPAR - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam nahas membabitkan sebuah lori di Kilometer 26.5, Jalan Ipoh–Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Nahas yang berlaku kira-kira jam 1.58 petang itu terjadi ketika mangsa, Mazlan Ahmad, 68, melintas jalan selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Jeram berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai menghala ke Bidor.
“Apabila sampai di lokasi, lelaki tersebut ternampak mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 keluar dari kawasan masjid secara mengejut dan melanggar bahagian tayar hadapan lori.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk dibedah siasat.
“Dalam kejadian itu, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!