Lagi angkara kenderaan berat

PADA Ahad, rakyat Malaysia bersedih dengan berita menyayat hati membabitkan anak gajah yang mati dilanggar lori di Lebuhraya Timur-Barat Gerik-Jeli, Perak.
Gambar tular ibu gajah yang setia menanti di sisi lori yang menggilis anaknya memberi kesan kepada orang ramai, apatah lagi kebetulan kejadian itu berlaku pada sambutan Hari Ibu.
Belum reda dengan kesedihan tersebut, pada Selasa, rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan tragedi berdarah mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam,Teluk Intan.
Kejadian berlaku selepas sebuah trak FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu semasa perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.
Kejadian itu juga membuka lipatan sejarah duka yang berlaku 35 tahun lalu di Kilometer 31, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
Ia mengakibatkan 11 anggota FRU daripada Trup 4B maut selepas trak dinaiki dirempuh sebuah bas ekspres yang hilang kawalan dipercayai akibat kegagalan brek.
Insiden menyayat hati ini menggambarkan Malaysia terus dibelenggu tragedi kemalangan jalan raya ngeri, khasnya membabitkan kenderaan berat terutama lori.
Kemalangan membabitkan lori dan kenderaan berat kini bukan sahaja menjadi punca kesesakan, malah ancaman kepada nyawa pengguna jalan raya sama ada manusia mahupun haiwan.
Menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), majoriti kesalahan trafik oleh kenderaan berat melibatkan muatan berlebihan, kegagalan penyelenggaraan sistem brek dan tayar botak.
Gabungan faktor-faktor tersebut menyebabkan lori lebih mudah hilang kawalan ketika di jalan raya, khususnya di laluan berbukit atau ketika cuaca buruk.
Selain itu, faktor pemandu lori sering ditekan untuk mematuhi jadual penghantaran yang ketat dan mengejar trip dikatakan antara punca kejadian kemalangan tidak diingini.
Ada yang memandu berjam-jam tanpa rehat mencukupi, sekali gus menjejaskan fokus dan tahap kepekaan mereka. Situasi itu meningkatkan risiko kemalangan.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua sebelum ini berkata, terdapat segelintir pemandu kenderaan berat yang mengambil mudah tentang muatan dan pemeriksaan brek secara berkala dengan alasan kos penyelenggaraan mahal.
“Selagi tiada penguatkuasaan tegas atau insiden besar berlaku, selagi itulah pemilik lori akan ambil mudah. Ia bukan soal kos tetapi nyawa tidak boleh diganti,” kata beliau.
Dalam banyak kemalangan, pihak berkuasa mendapati kegagalan brek atau masalah teknikal lain menjadi punca utama.
Kegagalan tersebut lazimnya berpunca daripada sikap cuai pemilik atau operator kenderaan berat yang enggan mengeluarkan kos untuk penyelenggaraan.
Isu itu juga tidak terhad kepada syarikat pengangkutan, malah pemandu juga berperanan penting memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat.
Namun, ramai tidak mempunyai pengetahuan teknikal atau kuasa untuk menolak arahan memandu kenderaan yang tidak layak digunakan.
Walaupun terdapat pelbagai peraturan seperti Akta Pengangkutan Jalan dan garis panduan JPJ telah tersedia, namun pelaksanaannya masih longgar.
Lori yang membawa muatan melebihi had masih berada di jalan raya, malah ada yang melanggar had kelajuan ditetapkan tanpa rasa bersalah.
Justeru, satu anjakan diperlukan bukan sahaja dari segi penguat-kuasaan, malah kesedaran dan tanggungjawab semua pihak amat diperlukan.
Soal keselamatan tidak boleh dikompromi. Nyawa pengguna jalan raya tidak boleh dibiarkan terancam akibat kecuaian pemandu, pengabaian penyelenggaraan dan penguatkuasaan longgar.
Pihak berkuasa diharap perlu konsisten, telus dan tidak kompromi dalam aspek keselamatan kenderaan berat.
* Mohd Iskandar Othman ialah wartawan Sinar Harian Edisi Utara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!