Biarpun sekadar hadiah sesikat pisang

SABAN tahun, tarikh 16 Mei pasti ditunggu-tunggu warga pendidik dan murid-murid di sekolah.
Ia merupakan Hari Guru yang menjadi medan memperingati jasa insan yang banyak berjasa kepada negara.
Pada tahun ini, Hari Guru jatuh pada Jumaat lalu. Tidak hairanlah, setiap tahun anak-anak murid dengan dibantu ibu bapa masing-masing akan menyediakan hadiah untuk diberikan kepada guru-guru yang disukainya.
Namun, dalam arus kemodenan dan tekanan sosial masa kini, tular pelbagai cerita suka duka tentang hadiah yang diterima oleh guru. Antaranya, satu hantaran isteri guru yang menasihati murid agar tidak lagi memberi hadiah yang dibeli di kedai RM2 seperti tahun lalu kerana semua hadiah itu akan ‘dibuang’.
Ayat itu sungguh menyentap perasaan dan menjadi perdebatan ramai.
Maka timbullah persoalan, apakah hadiah semurah itu tidak layak diberikan kepada seorang guru yang dihormati? Bukankah pemberian itu tanda kasih, bukan ukuran harga?
Dalam masa sama, seolah-olah terdapat jurang yang nyata antara sekolah. Di sekolah elit dan swasta, guru diraikan seperti selebriti. Ada yang menerima rantai, gelang, beg tangan berjenama, malah baucar hotel dan pelancongan.
Hadiah-hadiah itu datang daripada ibu bapa kaya, yang mahu menunjuk rasa penghargaan - walau dalam bentuk yang kadang-kadang menimbulkan rasa rendah diri dalam kalangan guru di sekolah biasa.
Di sudut lain, ada guru memuat naik peringatan supaya tidak lagi menghadiahkan cawan atau pen kerana terlalu banyak hingga memenuhi stor bilik guru.
Namun tidak semua guru bersikap sedemikian. Ada yang sangat disenangi pelajar, menerima hadiah dalam jumlah luar biasa, berguni-guni, penuh satu meja. Setiap satunya ditandakan dengan ucapan ikhlas dari hati anak didik.
Hadiah-hadiah ini tidaklah mahal tetapi datang daripada pelajar yang merasa berhutang budi atas segala tunjuk ajar dan perhatian yang diberi oleh guru mereka.
Bagi kawasan pedalaman pula, guru-guru menyambut Hari Guru seadanya. Tiada barangan mewah, hanya sesikat pisang, bungkusan kerepek atau buah tangan dari kebun yang diusahakan ibu bapa murid. Namun nilainya tetap tinggi.
Guru-guru ini memahami erti kasih sayang dalam kesederhanaan. Mereka tahu dalam dunia serba mencabar, pendidikan tetap menjadi jambatan antara harapan dan kejayaan.
Mereka yang dihantar ke kawasan sukar akses ini bekerja dalam senyap. Tidak popular di media sosial, tiada sambutan gilang-gemilang, tiada kemewahan. Tetapi merekalah yang menjadi lilin di hujung dunia, menerangi anak-anak yang jauh dari arus pembangunan.
Dalam pada itu, wajar disuluh juga kepada guru berkeperluan khas. Golongan ini tetap mengajar seperti guru lain, malah sering lebih sabar dan cekal, namun mereka jarang menerima penghargaan sama seperti guru arus perdana. Ada antara mereka tidak diraikan, tidak dikenali, tidak juga dipedulikan pada hari yang sepatutnya memberi ruang untuk mereka dihargai.
Sedangkan pengorbanan mereka dua kali ganda - perlu mengurus kekangan peribadi sambil memberi pendidikan kepada murid yang juga pelbagai keperluan.
Apakah hadiah paling bermakna buat semua guru?
Mungkin bukan 'mug' atau beg tangan. Bukan juga barang kemas. Tetapi cukup sekadar murid berjaya dalam hidup. Cukup sekadar pelajar membesar jadi manusia yang baik, beradab dan tahu mengenang jasa, itu yang para guru mahukan sebenarnya.
Maka, Hari Guru bukan soal hadiah apa yang diterima, bukan soal mahal atau murah. Hari Guru seharusnya menjadi hari menyatakan terima kasih yang sebenar-benarnya, dalam bentuk paling jujur - hormat, doa dan penghargaan.
*Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian Biro Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!