Lagi pelajar Unisza lemas di sungai

SETIU – Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah bersama enam rakannya di Hutan Lipur Lata Payung, di sini, petang Jumaat.
Mangsa dikenali sebagai Abed Mifzal Azman, 22, dikatakan datang bersama kumpulan rakannya untuk berkelah sebelum kejadian kepala air berlaku kira-kira jam 5.15 petang.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.30 petang sebelum sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai berada di atas batu berhampiran tebing sungai dan cuba menyelamatkan diri ketika kepala air melanda, namun telah dihanyutkan arus deras,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Zamri Dollah berkata, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu tiba di lokasi pada jam 5.58 petang dan turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuala Berang.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa melibatkan 26 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk 10 anggota bomba bersama jentera FRT, EMRS dan Pajero.
Selain itu, operasi turut disertai pasukan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Buat masa ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang giat dijalankan.
“Keadaan air masih deras dan keruh, dipercayai berpunca daripada fenomena kepala air,” ujarnya.
Difahamkan, kawasan kejadian tiada liputan Rangkaian Radio Integrasi Kerajaan (GIRN) dan hanya bergantung kepada talian telefon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!