Bahaya pamer barang kemas keterlaluan

Jangan pakai barang kemas iaitu rantai emas atau gelang besar ketika berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Hassan)
Jangan pakai barang kemas iaitu rantai emas atau gelang besar ketika berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam. Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Hassan)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Gaya mewah bertukar malapetaka. Itu realiti yang dihadapi sesetengah individu terutama wanita apabila menjadi sasaran penjenayah kerana memakai barangan kemas secara keterlaluan.

Tanpa disedari pemakaian rantai emas besar dan aksesori berkilauan yang dipamerkan secara terbuka di tempat awam telah menjadi ‘jemputan terbuka’ kepada penjenayah untuk meragut atau menyamun.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, tindakan sesetengah individu yang terlalu ghairah bergaya hingga mengabaikan aspek keselamatan diri telah membuka ruang serta peluang kepada penjenayah untuk bertindak.

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan seorang wanita menjadi mangsa ragut penjenayah.
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan seorang wanita menjadi mangsa ragut penjenayah.

“Ramai tidak sedar bahawa tindakan mempamerkan barangan kemas secara terang-terangan sebenarnya mengundang risiko.

“Penjenayah tidak memilih mangsa secara rawak tetapi berdasarkan peluang yang terbuka,” katanya kepada Sinar Harian.Menurut beliau, wanita merupakan golongan paling berisiko menjadi mangsa jenayah jalanan seperti ragut dan samun kerana sering memakai perhiasan serta kurang berwaspada terhadap persekitaran.

Harga emas yang tinggi ketika ini juga menjadi faktor penjenayah menyasarkan golongan wanita.

Katanya, golongan wanita perlu sentiasa peka dan elakkan terlalu leka dengan telefon bimbit ketika berjalan.

Artikel Berkaitan:

“Jangan pakai barang kemas iaitu rantai emas atau gelang besar ketika berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam.

“Kita perlu berpakaian secara sederhana dan elakkan menarik perhatian,” ujarnya.

Menurutnya, orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat seperti e-hailing berdaftar dan menunggu di kawasan terang serta mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

“Perlu sentiasa peka terhadap persekitaran. Jika ada individu mencurigakan, segera dapatkan bantuan atau pergi ke kawasan yang lebih ramai orang,” tambah beliau.

Tangkap layar video tular memaparkan seorang suspek bertindak meragut rantai emas dipakai mangsa.
Tangkap layar video tular memaparkan seorang suspek bertindak meragut rantai emas dipakai mangsa.

Bagi membendung jenayah jalanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan JPJKK telah mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk operasi khas secara berkala.

“Operasi seperti Op Rentap, Op Selamat, Op Lusuh dan Op Bersepadu dijalankan mengikut trend jenayah semasa.

“Matlamatnya untuk memastikan kawasan tumpuan seperti kedai emas, pasar malam dan bank sentiasa berada dalam pemantauan,” katanya.

Ujar beliau, PDRM juga mempergiatkan rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan titik panas, selain memperkenalkan rondaan tanpa pakaian seragam bagi meningkatkan elemen kejutan serta mengumpul maklumat risikan.

Tambah beliau, kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diperluaskan menerusi rondaan bersepadu di kawasan berisiko.

Teknologi, komuniti jadi aset

Menurut Wan Hassan, teknologi juga dimanfaatkan PDRM menerusi pe-masangan kamera Pengenalan Nombor Plat Automatik (ANPR) di zon panas dan penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) oleh orang awam.

“Melalui VSP, masyarakat boleh menyalurkan maklumat secara terus kepada polis menggunakan telefon pintar.

“Ia membantu kami mengesan dan bertindak balas dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau juga menegaskan aspek pendidikan turut memainkan peranan penting melalui program kesedaran yang dijalankan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah dan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.

“Kita mahu anak-anak muda memahami risiko jenayah berkaitan barang kemas khususnya dan belajar menjadi pengguna bijak serta sentiasa peka terhadap keselamatan diri,” katanya.

Pada masa sama, PDRM turut menasihati pemilik kedai emas dan premis perniagaan agar memperketat aspek keselamatan termasuk pemasangan CCTV berkualiti tinggi serta sistem penggera berfungsi.

“Kami sarankan pemasangan jeriji besi yang kukuh, penggunaan kunci keselamatan tinggi dan peti simpanan barang kemas dengan sistem keselamatan berganda,” ujar beliau.

Jelas beliau, kerjasama komuniti menerusi program Community Policing, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan kumpulan WhatsApp kejiranan amat digalakkan.

“Komuniti setempat adalah mata dan telinga polis. Segala maklumat atau kejadian mencurigakan yang dikongsi boleh membantu kami mencegah jenayah lebih awal,” ujarnya.

Wan Hassan menegaskan usaha berterusan daripada pelbagai pihak termasuk PDRM, komuniti dan agensi tempatan mampu memastikan keselamatan awam terus terpelihara.

“Kita semua memainkan peranan penting. Jangan tunggu sehingga menjadi mangsa.

“Bertindak bijak, berpakaian sederhana dan jadikan keselamatan sebagai keutamaan,” tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!