Poland adakan pilihan raya presiden untuk pilih pengganti Duda

Seorang pengundi membuang undi di sebuah pusat pengundian di Warsaw, Poland, semasa pusingan pertama pilihan raya presiden. Foto AFP
Seorang pengundi membuang undi di sebuah pusat pengundian di Warsaw, Poland, semasa pusingan pertama pilihan raya presiden. Foto AFP
A
A
A

WARSAW - Poland mengadakan pilihan raya presiden pada Ahad bagi memilih pengganti kepada penyandang Presiden Andrzej Duda, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Seramai 13 calon termasuk seorang wanita bertanding untuk menggantikan Duda, yang tidak boleh bertanding semula selepas berkhidmat selama dua penggal.

Datuk Bandar Warsaw Rafal Trzaskowski kini mendahului dalam tinjauan pendapat.

Calon berusia 53 tahun itu mewakili Gabungan Sivik berhaluan liberal-konservatif yang diketuai Perdana Menteri Donald Tusk.

Trzaskowski yang menjadi Datuk Bandar sejak 2018, mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam pilihan raya presiden 2020 dengan tewas tipis kepada Duda pada pusingan kedua pilihan raya.

Parti Undang-Undang dan Keadilan (PiS) yang disokong Duda menyokong ahli sejarah berusia 42 tahun, Karol Nawrock yang kini berada di tempat kedua dalam tinjauan pendapat.

Slawomir Mentzen pula bertanding mewakili parti berhaluan kanan Konfederasi, namun peluangnya untuk menang adalah tipis.

Pusingan kedua antara dua calon teratas kemungkinan besar akan diadakan dalam tempoh dua minggu. - Bernama-dpa

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!