Kanser pengaruhi semua: Biden ucap terima kasih atas sokongan

WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyampaikan penghargaan atas ucapan sokongan yang diterimanya selepas pengumuman diagnosis kansernya.
"Kanser menyentuh kita semua," tulis Biden, 82, dalam satu hantaran di platform X pada Isnin. Beliau berkata, dia dan isterinya, Jill, seperti ramai yang lain, mendapati mereka paling kuat dalam saat-saat paling sukar.
"Terima kasih kerana menguatkan kami dengan kasih sayang dan sokongan," tambah Biden, menurut laporan agensi berita Jerman dpa.
Beliau turut memuat naik gambar dirinya tersenyum ke arah kamera sambil duduk di sebelah isterinya, yang memegang seekor kucing di pangkuannya.
Sejak Ahad, diketahui umum bahawa Biden menghidap kanser prostat. Pejabat Biden menyatakan ia adalah bentuk kanser yang agresif dan lanjut yang telah merebak ke tulang, namun keadaan itu boleh dikawal.
Presiden Donald Trump, pendahulu dan pengganti Biden, menyampaikan ucapan berharap agar Biden segera pulih selepas diagnosis diumumkan, begitu juga dengan bekas Presiden Barack Obama dan isterinya Michelle.
"Saya yakin beliau akan menghadapi cabaran ini dengan tabah dan tenant yang menjadi ciri dirinya," tulis Obama di X. "Kami berdoa agar beliau sembuh dengan cepat dan sepenuhnya."
Obama, yang berkhidmat sebagai Presiden Amerika Syarikat dari 2009 hingga 2017 dengan Biden sebagai Naib Presiden, turut memuji komitmen Biden terhadap penyelidikan kanser.
"Tiada siapa yang telah melakukan lebih banyak usaha untuk mencari rawatan terobosan bagi kanser dalam semua bentuknya berbanding Joe," katanya.
Biden mengetuai program penyelidikan kanser berskala besar, "cancer moonshot," yang dilancarkannya pada 2016 ketika beliau menjadi Naib Presiden.
Ini bukan diagnosis kanser pertama dalam keluarga Biden. Pada 2015, anak sulungnya Beau meninggal dunia akibat tumor otak pada usia 46 tahun. Biden kerap berkongsi tentang kehilangan tersebut dalam ucapannya. - Bernama/dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!