Larangan tudung bawah umur 15 tahun dicadang di Perancis

Seorang kanak-kanak perempuan memakai hijab sama seperti warna bendera Perancis. - Foto Agensi
Seorang kanak-kanak perempuan memakai hijab sama seperti warna bendera Perancis. - Foto Agensi
A
A
A

PARIS - Parti politik Presiden Emmanuel Macron mencetuskan kontroversi apabila menyokong cadangan larangan pemakaian tudung oleh kanak-kanak perempuan bawah umur 15 tahun di tempat awam.

Cadangan itu dikemukakan ketika kerajaan Perancis dijadual membentangkan satu laporan penting pada Rabu mengenai penyebaran “Islamisme politik” di negara tersebut.

Presiden Macron turut dijangka mengadakan pertemuan bersama pegawai kanan kerajaan pada Rabu bagi membincangkan laporan berkenaan yang antara lain menyifatkan pertubuhan Ikhwanul Muslimin sebagai “ancaman terhadap perpaduan nasional”, serta mendakwa gerakan itu berpotensi merosakkan “struktur masyarakat dan institusi republik”.

Parti Renaissance yang diketuai bekas Perdana Menteri, Gabriel Attal, mencadangkan agar kanak-kanak perempuan bawah umur 15 tahun diharamkan memakai tudung di tempat awam, merujuk kepada lokasi seperti jalan raya, taman, kafe dan kedai.

Menurut parti itu, pemakaian tudung oleh golongan bawah umur “secara serius menjejaskan prinsip kesaksamaan jantina dan perlindungan kanak-kanak”.

Selain itu, Renaissance turut mencadangkan pewujudan satu kesalahan jenayah baharu terhadap ibu bapa yang memaksa anak perempuan mereka memakai tudung.

Parti Renaissance kini berada dalam kerajaan minoriti Perancis dan bergandingan dengan sebuah parti tradisional berhaluan kanan.

Cadangan itu mengundang pelbagai reaksi, dengan pengkritik menyifatkan pemakaian tudung sebagai sebahagian daripada amalan agama Islam dan hak kebebasan individu, sementara yang lain melihatnya sebagai simbol pengaruh Islam yang semakin berkembang, terutamanya susulan beberapa serangan jihad berdarah yang pernah berlaku di Perancis.

Artikel Berkaitan:

Ketua parti sayap kanan jauh, Perhimpunan Nasional (RN), Jordan Bardella, menuduh Gabriel Attal melakukan ‘pusingan-U’ dalam isu ini.

Beliau turut berkongsi satu video dari debat tahun 2022 di mana Attal sebelum ini memberi amaran bahawa larangan terhadap tudung boleh membawa kepada penindasan wanita Islam jika Marine Le Pen memenangi pilihan raya.

Ketika kempen presiden pada tahun 2022, Le Pen pernah menyuarakan hasrat untuk mengharamkan tudung secara menyeluruh di semua ruang awam di Perancis, namun gagal memenangi pilihan raya tersebut.

Buat masa ini, undang-undang Perancis melarang penjawat awam, guru dan pelajar daripada memakai sebarang simbol keagamaan yang jelas seperti salib Kristian, kippah Yahudi, serban Sikh atau tudung Islam ketika berada dalam bangunan kerajaan, termasuk sekolah awam.

Kerajaan turut dalam proses memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengharamkan pemakaian tudung dalam kejohanan sukan domestik — satu langkah yang dikritik ramai pihak kerana didakwa mendiskriminasikan wanita Muslim secara terang-terangan.

Perancis dan Jerman merupakan dua negara dengan populasi Muslim terbesar dalam Kesatuan Eropah (EU).

– AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!