Jun Hao terperangkap strategi pemain Ireland

IMPIAN pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk mara lebih jauh dalam saingan Malaysia Masters 2025 tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen.
Pada aksi sulung antara kedua-dua pemain itu, Jun Hao memulakan saingan dengan cemerlang apabila memenangi set pertama 21-10.
Bagaimanapun, rentak pemain yang kini berada di kedudukan ke-25 dunia itu mula goyah dalam permainan kedua apabila tewas 18-21.
Nguyen, yang dibimbing bekas pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, meneruskan momentum positif dan mengesahkan kemenangan 21-9 dalam masa 74 minit permainan.
“Mungkin dia tukar strategi pada set kedua dan ketiga. Situasi itu membuatkan saya tidak selesa.
“Daripada segi serangan, pemain lawan lebih agresif,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.
Jun Hao dilihat belum berada pada tahap terbaik selepas baru pulih daripada kecederaan lengan kanan yang turut memaksanya menarik diri daripada Terbuka Thailand minggu lalu.
“Minggu lalu saya terpaksa tarik diri dan di sini baru rasa betul-betul pulih sepenuhnya. Jadi apabila turun beraksi, saya akan beri yang terbaik dengan kemampuan yang ada.
“Kalah tetap kalah, tapi saya rasa lebih baik kerana sekurang-kurangnya saya dapat habiskan perlawanan ini berbanding langsung tak dapat bermain,” katanya.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kelima berturut-turut Jun Hao tersingkir pada pusingan pertama sejak awal musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!