Final Liga Europa: Pertemuan dua gergasi England yang jatuh

FINAL Liga Europa antara Manchester United dan Tottenham di Stadium San Mames, Bilbao bakal mencipta sejarah baharu – tetapi bukan kerana kehebatan.
Pemenang perlawanan akhir Liga Europa sama ada Manchester United atau Tottenham Hotspur berkemungkinan besar akan mencipta rekod sebagai juara kejohanan Eropah utama dengan kedudukan liga domestik paling rendah dalam sejarah.
Lebih mengejutkan mereka juga bakal menjadi pasukan dengan kedudukan terburuk yang layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Ketika ini, Manchester United berada di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris manakala Spurs satu anak tangga di bawah tempat ke-17. Secara keseluruhan kedua-dua pasukan yang dilabel sebagai antara gergasi England telah tewas 39 kali dalam liga musim ini.
Sejak 2 Februari, satu-satunya kemenangan liga yang dicatatkan oleh mana-mana pasukan hanyalah ke atas pasukan yang telah disahkan tersingkir atau sesama sendiri.
Jumlah mata yang dikumpul oleh mereka bahkan boleh menyebabkan penyingkiran dalam beberapa musim terdahulu.
Bekas penyerang Celtic, Chris Sutton, berkata: “Saya tidak pernah melihat perlawanan akhir yang begitu penuh tekanan untuk kedua-dua pasukan."
Namun, salah satu daripada mereka tetap akan meraikan kejuaraan dan memastikan tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan sekali gus meraih habuan kewangan lumayan.
Sepanjang sejarah kejohanan Eropah termasuk Piala Fairs, Piala Pemenang Piala, Piala UEFA, Piala Eropah, Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Liga Konferensi hanya dua pasukan pernah menjuarai trofi walaupun menamatkan liga domestik di bawah tangga ke-12.
Antaranya ialah West Ham United yang muncul juara Liga Konferensi dua musim lalu, meskipun hanya menamatkan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-14 menjadikan mereka juara Eropah dengan kedudukan terendah setakat ini.
Kini, Manchester United atau Spurs berpeluang menamatkan musim di tangga ke-14 tetapi ia bergantung kepada beberapa keputusan perlawanan lain yang perlu memihak kepada mereka.
Kejayaan terdahulu dengan kedudukan liga yang rendah juga berlaku dalam kejohanan Eropah peringkat kedua:
Inter Milan menamatkan Serie A 1993-94 di tangga ke-13 daripada 18 pasukan hanya terselamat daripada penyingkiran dengan satu mata di bawah sistem lama dua mata untuk kemenangan namun berjaya memenangi Piala UEFA.
Tiga pasukan yang menamatkan musim di tangga ke-12 juga pernah menjuarai kejohanan ini: Arsenal (Piala Fairs 1969-70), Schalke (Piala UEFA 1996-97), dan Sevilla (Liga Europa 2022-23).
Pasukan Sevilla itu sebelum ini memegang rekod sebagai kelab dengan kedudukan terendah yang layak ke Liga Juara-Juara – namun bakal dipintas oleh pemenang final kali ini.
Chris Sutton turut meramalkan mutu permainan yang rendah dalam final ini.
“Tidak banyak kualiti yang akan dipertontonkan. Kedua-dua pasukan pasti akan bermain dalam keadaan cemas dan penuh kebimbangan,” katanya.
Mengulas tindakan pengurus United, Rúben Amorim dan pengurus Spurs, Ange Postecoglou yang menukar barisan pemain dalam perlawanan liga kebelakangan ini, Sutton menambah:
“Saya tidak faham kenapa mereka dilanda ketakutan. Kedua-dua jurulatih sepatutnya mahu membawa momentum ke perlawanan akhir. Tindakan itu hanya menambah tekanan terhadap suasana perlawanan.”
Walaupun final ini bakal menobatkan seorang juara Eropah, naratif yang mengiringinya lebih kepada kejatuhan dua kelab besar yang kini terpaksa mencari penyelamat musim mereka menerusi kejayaan tunggal dalam suasana yang suram dan menekan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!