Tiada peluang kedua untuk Kedah, Perak

KEDAH Darul Aman FC dan Perak FC tidak akan diberi peluang kedua untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim depan walaupun jika mereka berjaya melunaskan tunggakan gaji serta menyelesaikan isu hutang pasukan.
Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kegagalan kedua-dua pasukan memenuhi syarat pelesenan yang telah ditetapkan.
"Kedua-dua pasukan telah gagal memenuhi syarat lesen. Liga Super juga sudah ada pasukan pengganti mereka iaitu Imigresen FC dan Melaka FC.
"Ia satu proses biasa, kalau dah gagal tu kena tengok balik pasukan. Memang tiada talian hayat lain kerana sudah tamat tempoh permohonan lesen.
"Kita sudah putuskan dalam mesyuarat dan jika mereka mahu beraksi dalam Liga A1 akan diputuskan kemudian," katanya.
Pada Khamis, MFL mengumumkan dua pasukan gergasi Liga Malaysia iaitu Kedah dan Perak terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan.
Ketetapan itu diputuskan Badan bebas First Instance Body (FIB) selepas kelab tersebut gagal memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR)
Bagi memastikan kelab diberikan lesen, mereka perlu dinilai dan mematuhi enam kriteria utama seperti yang dinyatakan dalam MFL CLR iaitu Sukan, Infrastruktur, Personel dan Pentadbiran, Perundangan, Kewangan, dan Perniagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!