Isu gambar lucah: Pempengaruh dakwa tersilap, gambar sepatutnya dihantar kepada kekasih

SHAH ALAM – Pempengaruh yang terbabit dalam insiden menghantar gambar tidak senonoh kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun baru-baru ini mendakwa bahawa gambar tersebut sepatutnya dihantar kepada seorang wanita yang merupakan kekasihnya.
Perkara itu didedahkan oleh penyanyi dan pempengaruh, Caprice menerusi laman Instagram miliknya yang memaklumkan bahawa wanita tersebut telah dihubungi oleh pempengaruh terbabit untuk memohon maaf.
Menerusi mesej yang dihantar kepada wanita berkenaan, pempengaruh itu memohon maaf serta merayu untuk berjumpa dengannya, selain mendakwa bahawa gambar tersebut sepatutnya disunting terlebih dahulu sebelum dihantar.
Pempengaruh itu turut mendakwa bahawa gambar tersebut sebenarnya ditujukan kepada kekasihnya, namun tidak sempat menyuntingnya ketika menghantarnya kepada kanak-kanak perempuan tersebut.
“Saya merayu sangat, kak. Untuk berjumpa dengan kak. Saya silap, kak. Gambar itu sepatutnya saya ‘crop’.
“Tapi saya terlepas pandang, sebab gambar itu saya dah ambil siap-siap untuk dihantar kepada teman wanita saya. Tapi kesilapan saya waktu saya hantar kepada anak kakak, saya tak ‘crop’. Sebab masa itu saya tengah kalut nak rakam video campsite,” tulisnya kepada wanita terbabit.
Pempengaruh itu turut merayu dengan menyatakan bahawa dia masih mempunyai ibu bapa yang perlu ditanggung.
“Kak, tolong. Saya merayu sangat. Kalau sabit kesalahan, 10 tahun saya ke dalam. Segala yang saya usahakan selama ini semuanya akan hilang, kak.
“Maafkan saya, kak. Saya masih ada orang tua lagi untuk diberi nafkah. Kalau saya ke dalam, macam mana dengan mereka? Keluarga saya pun akan terpalit sama. Kalau kak nak saya sujud pun saya sanggup, kak,” tulisnya lagi.
Sementara itu, seorang pempengaruh telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej berbaur lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Difahamkan, lelaki tersebut telah hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada Khamis.
Menurut sumber, pempengaruh terbabit akan direman untuk siasatan lanjut.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes tersebut.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa penyanyi dan aktivis Caprice telah mendedahkan beberapa kiriman mesej di media sosial yang didakwa berbaur lucah dan dihantar oleh pempengaruh terbabit kepada remaja bawah umur itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!