Rosakkan kuil: Penganggur miliki senjata, ugut potong kepala dipenjara 5 tahun

Sebahagian peralatan senjata, telah dirampas susulan penahanan suspek bagi kes merosakkan kuil di Kampung Tasek Ampang, empat hari lalu.
Sebahagian peralatan senjata, telah dirampas susulan penahanan suspek bagi kes merosakkan kuil di Kampung Tasek Ampang, empat hari lalu.
A
A
A

AMPANG – Tindakan seorang lelaki yang tular merosakkan kuil, mengugut memotong kepala setiausaha rumah ibadat itu dan memiliki senjata mengundang padah apabila dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Jumaat.

Penganggur, Sufpriyanndi Masyhuri, 34, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Nurulizwan Ahmad Zubir; Majistret, Normaizan Rahim dan Majistret, Amalina Basirah Md Top.

Bagi kesalahan memiliki senjata, Hakim, Nurulizwan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan ke atas tertuduh.

Kes merosakkan kuil pula, Majistret, Normaizan menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan, sementara pertuduhan mengugut mahu memotong kepala, Majistret, Amalina Basirah mengenakan hukuman penjara lima bulan.

Mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap, 19 Mei lepas bagi semua pertuduhan.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua parang dan satu keris berhulu kayu tanpa kebenaran sah, di sebuah kuil Hindu di Kampung Tasek Ampang, Hulu Langat di sini, pada jam 6 pagi, 19 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi dua kes di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa atas satu pertuduhan merosakkan kuil berkenaan sedangkan penganutnya mungkin menganggap perbuatan itu sebagai suatu keaiban kepada agama mereka, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengugut mahu memotong kepala SM Mohana Thas, 34, di lokasi, masa dan tarikh serupa.

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin dan Norhidayah Abdullah Sani, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada Selasa lalu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tindakan lelaki itu merosakkan tempat sembahyang rumah ibadat agama Hindu di sini bukan bermotifkan ekstremisme tetapi dilakukan di bawah pengaruh dadah.

Menurutnya, suspek disyaki berada di bawah pengaruh dadah dan mendakwa terdengar bisikan.

Katanya, ujian saringan air kencing mengesahkan suspek positif methamphetamine serta amphetamine.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!