94 peratus hospital di Gaza rosak, musnah

GENEVA - Sekurang-kurangnya 94 peratus hospital di Semenanjung Gaza telah rosak atau musnah, dan penduduk di bahagian utara wilayah Palestin hampir tidak lagi mempunyai akses kepada rawatan perubatan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu laporan.
"Hanya 19 daripada 36 hospital di Semenanjung Gaza yang masih beroperasi, termasuk satu hospital yang hanya menyediakan rawatan asas kepada pesakit yang masih berada di dalam hospital, dan semuanya sedang bergelut dengan kekurangan bekalan, kekurangan petugas kesihatan, ancaman keselamatan berterusan serta peningkatan mendadak jumlah mangsa, sementara kakitangan bekerja dalam keadaan yang amat sukar,” menurut laporan itu.
Daripada 19 hospital yang masih beroperasi, 12 daripadanya menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan, manakala selebihnya hanya mampu memberikan rawatan kecemasan asas. Sekurang-kurangnya 94 peratus daripada keseluruhan hospital di Semenanjung Gaza telah rosak atau dimusnahkan, kata WHO seperti dipetik agensi berita Rusia, TASS.
Laporan itu turut menyatakan bahawa sejak permusuhan disambung semula pada 18 Mac 2025, WHO telah merekodkan 28 serangan terhadap kemudahan perubatan, dan sejak Oktober 2023, sekurang-kurangnya 697 serangan telah direkodkan.
"Gaza Utara hampir kehilangan semua kemudahan kesihatan. Di Gaza Selatan, hospital pula dibanjiri dengan jumlah mangsa yang tinggi. Ketika ini, hanya terdapat 2,000 katil hospital untuk populasi melebihi dua juta penduduk di seluruh Semenanjung Gaza, yang amat jauh daripada mencukupi.”
"Permusuhan yang berterusan serta kehadiran tentera telah menghalang pesakit daripada mendapatkan rawatan, menyukarkan petugas untuk memberikan perkhidmatan, dan menghalang WHO serta rakan pelaksana daripada membekalkan semula kemudahan perubatan,” menurut laporan itu lagi.
WHO menyeru gencatan senjata segera dan berkekalan di wilayah berkenaan, sambil menegaskan bahawa "PBB dan rakan-rakannya mempunyai pelan bantuan kemanusiaan yang jelas, berprinsip dan berkesan, dengan jaminan terhadap penyelewengan, dan sistem itu telah terbukti berjaya serta mesti dibenarkan untuk diteruskan.” - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!