Nahas FRU: Henti salah-menyalah, terima ketentuan Ilahi - Timbalan Mufti Perak

Zamri menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anggota FRU yang terselamat, Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zullkifli, 34, dalam kunjungannya ke kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh pada Jumaat.
Zamri menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anggota FRU yang terselamat, Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zullkifli, 34, dalam kunjungannya ke kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menasihatkan agar masyarakat berhenti menuding jari serta saling menyalahkan berhubung insiden nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), 13 Mei lalu.

Beliau menegaskan bahawa tragedi menyayat hati itu merupakan satu ketentuan Ilahi yang wajar diterima dengan hati terbuka.

"Kita memohon kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi sumbangan dan tunjukkan rasa kebersamaan kepada segolongan rakyat yang banyak berjasa kepada kita. Hentikanlah salah menyalah antara satu sama lain.

"Tiada siapa pun yang mahu perkara ini terjadi. Ia adalah satu ketentuan yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan kepada anggota FRU yang terselamat dan keluarga mangsa nahas di kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam di sini pada Jumaat.

Zamri
Zamri

Turut hadir dalam lawatan berkenaan, Pengurus Yayasan Ikhlas cawangan Ipoh, Hassriq Hafize Abdul Halim Hafiz dan wakil Kelab Kebajikan Jabatan Mufti Negeri Perak yang tampil memberikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian.

Zamri bagaimanapun menyeru agar tragedi tersebut dijadikan iktibar dalam usaha menambah baik aspek keselamatan terutama membabitkan operasi pasukan keselamatan.

"Pada masa akan datang, perlu difikirkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang lebih selamat, lebih-lebih lagi kepada anggota keselamatan kita yang banyak menyumbang kepada negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kehadiran pihaknya bukan semata-mata untuk menyampaikan bantuan kebajikan, sebaliknya sebagai manifestasi kebersamaan dan keprihatinan terhadap nasib anggota keselamatan yang banyak berkorban untuk negara.

"Kita merasa terpanggil untuk mengajak masyarakat sama-sama menyumbang, dan ini sebagai pencetus sahaja. Masyarakat dengan rasa kasih sayang menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Ikhlas yang akan disampaikan kepada mereka yang sedang diuji," katanya.

Dalam nahas kira-kira jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam dan sedang menuju ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.

Lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Nahas turut mengakibatkan sembilan anggota lain cedera dengan sebahagiannya parah.

Setakat ini, mangsa yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39. Seorang lagi mangsa, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, dirawat di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!