Kedai runcit jadi 'port' rokok seludup

Serbuan PPM di sebuah kedai runcit di Kampung Kumbabangan, Paitan, Beluran, membawa penemuan pelbagai jenis rokok dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan di daerah terbabit.
Serbuan PPM di sebuah kedai runcit di Kampung Kumbabangan, Paitan, Beluran, membawa penemuan pelbagai jenis rokok dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan di daerah terbabit.
A
A
A

BELURAN – Cubaan menjadikan sebuah kedai runcit sebagai lokasi transaksi rokok seludup gagal mengaburi pihak berkuasa apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu premis berkenaan di Kampung Kumbabangan, Paitan di sini pada Jumaat.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi itu, seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan bersama pelbagai jenis rokok bernilai RM168,060 yang dipercayai tidak bercukai.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan telah membawa kepada serbuan di premis tersebut.

“Hasil pemantauan mendapati terdapat pergerakan seorang lelaki mencurigakan yang dipercayai sedang menjalankan urus niaga rokok.

“Lelaki terbabit mengaku bekerja sebagai pembantu di kedai tersebut dan hasil pemeriksaan menemukan longgokan kotak berisi rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran setempat dengan menjadikan kedai runcit di kawasan kampung sebagai lokasi penyimpanan dan transaksi.

“Kesemua barangan telah dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen PPM dalam membanteras kegiatan penyeludupan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!