NGO desak Nurul Izzah tunai janji, pujuk PM tarik balik lantikan semula Azam Baki

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar perlu menunaikan janji untuk memujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menarik balik pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Desakan itu dibuat oleh puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan mahasiswa susulan pelantikan semula Azam untuk tahun ketiga berturut-turut sejak 2023, yang didakwa mencemari agenda reformasi institusi pencegahan rasuah negara.
Wakil Sekretariat Himpunan Undur Azam Baki, Hamdin Nordin berkata, Nurul Izzah perlu berbuat demikian dan bukannya sekadar mengeluarkan retorik politik untuk meraih sokongan ketika kempen pemilihan PKR baru-baru ini.
“Kami berharap Nurul Izzah tidak sekadar retorik dan cakap kosong orang politik kerana mahu meraih sokongan demi memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR semasa kempen pemilihan parti berkenaan sahaja.
“Kalau benar dia ikhlas dalam perjuangan menghapuskan rasuah dan menolak pelantikan Azam Baki, maka kami sedia berkongsi pentas serta turun ke jalanan bersama-sama pada masa depan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai Himpunan Undur Azam Baki yang berarak dari sebuah pusat beli-belah ke Dataran Merdeka pada Sabtu.
Sementara itu, wakil Liga Mahasiswa Malaysia, Ahsanul Akmal turut menuntut Perdana Menteri dan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Menurut Ahsanul, mereka menentang pelantikan semula Azam kerana mahu individu terbaik menerajui badan pencegah rasuah tersebut.
Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abdul Aziz pula melahirkan rasa kesal dengan sikap pemimpin PH yang kini hanya berpeluk tubuh melihat Azam dilantik semula.
Beliau berkata, sebelum ini majoriti pemimpin PH mengatakan mereka mahu melawan rasuah dan menangkap Azam, namun kini akhirnya beliau dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tiga tahun berturut-turut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!