Ahli perniagaan rugi RM5.3 juta terpedaya pelaburan tidak wujud

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan kerugian sebanyak RM5.3 juta selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui aplikasi laman sesawang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa berumur 67 tahun yang merupakan warga tempatan itu pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan dilihat sebelum menekan pautan dan disambungkan ke aplikasi WhatsApp.

"Suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Ms Ng' kemudiannya menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan memperkenalkan diri sebagai tenaga pengajar pelaburan berkenaan.

"Mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dan mengikuti pelaburan itu selama kira-kira seminggu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, suspek kemudian meminta mangsa mendaftar sebagai pelabur baharu di satu platform dikenali sebagai 'primuspacificpartners.biz'.

"Peringkat awal, mangsa menerima pulangan awal sebanyak RM24,308.48 yang membuatkan dia semakin yakin.

"Mangsa kemudian membuat 13 transaksi kemasukan wang berjumlah RM5.3 juta ke tiga akaun bank berbeza," katanya.

Menurutnya, selepas semua transaksi dibuat, mangsa dijanjikan keuntungan mengikut harga pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun mangsa diarahkan membuat pelbagai bayaran cukai terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pengeluaran.

"Mangsa menyedari telah ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang pelaburan dan mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM5.3 juta," katanya.

Hussein berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, terutama melalui aplikasi yang tidak diluluskan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Sebarang panggilan mencurigakan boleh dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!