'Cukuplah kerja sampai 60 tahun, nanti asyik ambil MC saja'

Rohana masih aktif walaupun sudah bersara.
Rohana masih aktif walaupun sudah bersara.
A
A
A

SEREMBAN - Tidak dinafikan bagi sesetengah individu yang sudah bergelar warga emas masih kuat membanting tulang mencari rezeki buat keluarga.

Namun hakikatnya kudrat yang ada tidak lagi kuat seperti dahulu dan ia diakui oleh pesara kerajaan, Rohana Sallehudin, 61.

Menurut bekas Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran Parlimen Rembau itu, usia persaraan wajib 60 tahun adalah paling sesuai sekali gus bagi memberi peluang kepada golongan lebih muda pula untuk bekerja.

"Saya tak nafikan ada yang masih produktif pada usia melepasi 60 tahun, tapi bagilah peluang kepada anak-anak muda pula untuk mengisi tempat mereka.

"Cukuplah sampai 60 tahun bekerja, nanti asyik ambil cuti sakit (MC) saja dan sudahnya akan jejaskan yang lain-lain," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun dia mengakui ada sesetengahnya yang sepatutnya sudah berehat di rumah menikmati waktu persaraan terpaksa memilih untuk bekerja kerana tiada sumber kewangan mencukupi.

Disebabkan itu kata Rohana, beberapa tahun sebelum bersara, dia telah pun membuat perancangan awal terutamanya dari sudut kewangan.

"Alhamdulillah duit pencen saya cukup untuk sara hari tua saya, tapi saya ini dah biasa bekerja dan kalau hanya duduk di rumah itu akan membuatkan fizikal dan mental saya terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Saya ada suarakan kepada suami nak berniaga pisang goreng, tapi dia tak setuju dan disebabkan itu dengan kemahiran yang ada, saya cari duit tambahan dengan ambil tempahan buat kraftangan dan hantaran perkahwinan," katanya yang mempunyai seorang anak, tetapi telah pun meminta dunia.

Pada masa sama dia juga membantu suami yang telah bersara menyediakan perkhidmatan sewaan sistem siar raya termasuk menjadi pengacara majlis.

Kata Rohana, boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu dia tiada di rumah kerana mengikut suaminya 'bertugas'.

"Kalau ikutkan saya lebih sibuk waktu bersara, tapi saya seronok kerana boleh jumpa ramai orang, kalau tidak saya hanya duduk di rumah dan siapkan tempahan kraftangan.

"Kalau buat bisnes atau berniaga pada usia lebih 60 tahun itu tidak mengapa, tapi kalau yang masih perlu pergi bekerja hari-hari pada usia hingga 65 tahun itu memang dah tak sesuai lagi," katanya.

Sementara itu, dia bersetuju mereka di usia emas tidak sepatutnya duduk berehat saja di rumah kerana akan membuatkan mereka lebih tidak sihat.

Bagaimanapun katanya, itu bukan bermaksud perlu lagi pergi bekerja pada usia sudah lebih 60 tahun.

Perlu persediaan rapi sebelum masuk fasa pencen

KEPALA BATAS - Jangan tunggu hingga sampai waktu, sebaliknya perlu perancangan dan persiapan rapi dari segi kewangan, kesihatan serta mental sebelum masuk ke fasa pencen.

Itu yang perlu dilakukan mereka yang bakal melangkah ke usia emas sebaik tempoh perkhidmatan kerja tamat diusia 60 tahun.

Bagi Ismail Che Mat, 72, seorang pesara swasta, persaraan bukanlah penamat kepada sebuah kehidupan, sebaliknya ia adalah permulaan kepada satu fasa baru yang sepatutnya dijalani dengan lebih tenang dan berkualiti.

Beliau yang pernah berkhidmat di Jabatan Telekom hingga bersara pada tahun 2009 kini menyara kehidupan keluarganya dengan menjadi pesawah selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Ismail
Ismail

"Saya memang merancang awal sebelum melangkah ke fasa bersara. Selepas pencen, saya mengusahakan tanah sawah selain bergiat aktif dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Penaga.

"Jadi masalah ekonomi tidak terlalu membebankan saya, malah saya bersyukur anak-anak tidak lupa memberi wang bulanan kepada saya dan isteri sekali gus meringankan beban kami,"katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Bapa kepada enam cahaya mata dan kini mempunyai 14 orang cucu itu berkata, di usia emas ini beliau turut menjana pendapatan sampingan dengan menggunakan kemahiran membaiki barangan elektrik dan melakukan kerja-kerja paip.

Mengimbau kenangan di awal persaraan lebih sedekad lalu, beliau mengakui pernah melalui fasa mencabar terutamanya dari segi kewangan selepas bersara.

"Tahun kedua selepas pencen tu memang terasa juga masalah kewangan. Ketika itu anak saya empat orang masih belajar di universiti dan memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Mujurlah ketika ada bantuan isteri yang pada waktu itu masih lagi bekerja, jadi dia banyak membantu menampung apa yang diperlukan. Memang kami berjimat dan urus belanja dengan baik,” ujarnya.

Mengulas cadangan had umur persaraan dilanjutkan sehingga 65 tahun, Ismail secara peribadi tidak bersetuju.

Beliau berpendapat, di usia itu dikhuatiri prestasi serta produktiviti pekerja akan menurun.

"Kita perlukan orang muda untuk berurusan dengan orang ramai sebab mereka lebih bertenaga dan jadi tarikan.

"Bayangkan kalau warga emas yang jaga kaunter dan melayan pelanggan, mungkin hilang seri,” katanya sambil mencadangkan agar umur persaraan kekal pada 55 tahun.

Ismail turut menitipkan pesanan kepada golongan muda dan bakal pesara agar merancang awal sebelum bersara.

"Paling penting siapkan dari segi mental dan kesihatan. Kewangan pun kena urus awal sebab masa pencen nanti, anak-anak mungkin masih belajar.

"Wang imbuhan serta simpanan akan habis untuk mereka, belanja kita tetap sama walau sudah pencen," nasihat beliau.

.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!