Penunggang lelaki tular ragut rantai warga emas ditahan

GEORGE TOWN – Kurang 24 jam selepas melakukan jenayah, seorang lelaki yang meragut rantai emas milik seorang wanita warga emas di Jalan Tembaga, Taman Greenview, Jelutong, pada Isnin, berjaya diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa berusia 71 tahun menunggang motosikal lalu dihampiri suspek yang turut bermotosikal.
Menurutnya, suspek kemudiannya menarik rantai emas dipakai mangsa.
"Dalam kejadian itu, rantai emas mangsa terputus dan sebahagiannya disyaki dilarikan suspek.
"Mangsa membuat laporan polis pada hari sama kira-kira jam 4.30 petang. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Abdul Rozak, hasil siasatan dan risikan, polis berjaya menahan suspek kira-kira jam 4 pagi Selasa berhampiran Jalan Lim Khoon Huat.
"Polis merampas sebuah motosikal dan pakaian digunakan suspek ketika kejadian.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC (ganja) dan Benzo. Dia kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 2 Jun untuk siasatan lanjut," katanya.
Sebelum ini, satu klip video berdurasi 12 saat tular di media sosial yang memaparkan mangsa dan suspek yang menunggang motosikal terjatuh di jalan, namun suspek berjaya melarikan diri walaupun wanita tersebut cuba mempertahankan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!