Kerajaan Johor tidak zalim isu pajakan tanah Kampung Melayu Majidee

Kampung Melayu Majidee terletak tengah kawasan tumpuan dan pembangunan di Johor Bahru. Gambar kecil: Onn Hafiz
Kampung Melayu Majidee terletak tengah kawasan tumpuan dan pembangunan di Johor Bahru. Gambar kecil: Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri tidak pernah bersikap zalim terhadap rakyat dan sentiasa berusaha memastikan hak milik tanah penduduk, khususnya di kampung-kampung tradisi seperti Kampung Melayu Majidee terus dipelihara.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, status pajakan tanah bukan satu bentuk pencerobohan, sebaliknya merupakan satu bentuk pegangan yang sah di sisi undang-undang.

"Status pajakan tanah tetap memberikan hak milik penuh kepada pemilik, termasuk hak untuk mewariskan, menjual dan membuat pembangunan, tertakluk kepada syarat serta undang-undang yang berkuat kuasa.

"Baru-baru ini, sebanyak tujuh permohonan pembaharuan pajakan tanah di Kampung Melayu Majidee telah diluluskan dan diserahkan. Ini merupakan bukti komitmen kerajaan negeri dalam mempercepatkan proses permohonan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin.

Menurut Onn Hafiz, pendekatan kerajaan adalah inklusif dan terancang bagi memastikan kampung-kampung tradisi terus kekal dalam landskap pembangunan bandar moden tanpa mengetepikan nilai warisan dan budaya asal.

“Tanah bagi orang Melayu akan terus dipelihara di bawah elemen Rizab Melayu dan tidak boleh dipindah milik kepada bangsa lain,” jelasnya.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut sedang mengubah Rancangan Kawasan Khas (RKK) perkampungan tradisi Melayu di Johor Bahru supaya selaras dengan Pelan Pembangunan Wilayah Selatan Johor (JSSZ), bagi memastikan kampung-kampung tersebut tidak terasing daripada arus pembangunan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu pembangunan yang melupakan akar dan warisan. Sebaliknya, kita mahu membangunkan kampung-kampung ini dengan acuan sendiri – moden, berdaya saing dan kekal dengan jiwa Melayu," katanya.

Tambah beliau, kerajaan Johor akan terus komited dalam memperjuangkan kepentingan rakyat serta memastikan kampung-kampung tradisi terus membangun seiring dengan kemajuan negeri.

Pada 27 April lalu, penduduk Kampung Melayu Majidee yang berdepan isu tempoh pajakan negeri 99 tahun hampir tamat dinasihatkan agar segera membuat permohonan melanjutkan tempoh pajakan tanah mereka.

Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (PERKAM) memaklumkan bahawa permohonan penukaran status Tanah Rizab Melayu (TRM) Kampung Melayu Majidee kepada hak milik kekal telah dibuat oleh pemilik tanah dan penduduk selepas merujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Johor.

Pengerusi PERKAM, Abdul Rahim Md Shariff dilaporkan berkata, tidak timbul isu bahawa permohonan yang dibuat penduduk sebagai membuang masa atau mustahil untuk direalisasikan.

Pada 20 April lalu, lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee dilaporkan masih menanti jawapan berhubung status permohonan penukaran TRM kepada hak milik kekal yang telah dikemukakan kepada kerajaan negeri sejak tahun lalu.

Abdul Rahim berkata, ini kerana status tanah Rizab Melayu di kampung berkenaan ketika ini masih berstatus TRM Pajakan Negeri selama 99 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!