Imigresen Kelantan tahan 13 PATI Bangladesh

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan menahan 15 warga asing dalam satu operasi bermula jam 11 pagi di sekitar Pasir Mas pada Isnin.
Pengarahnya, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 54 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di daerah berkenaan.
Menurut beliau antara lokasi tumpuan ialah tapak pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan Mekasar, sekitar Madrasah Al-Ahmadi dan bangunan Tabung Haji.
"PATI yang ditahan membabitkan 13 lelaki warga Bangladesh dan masing-masing seorang lelaki dan wanita warga Thailand," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Beliau memberitahu, operasi disertai sembilan pegawai pelbagai pangkat hasil risikan Bahagian Penguatkuasa JIM Kelantan.
Jelas beliau, kesemua warga asing itu dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen1963.
Mohamed Yusoff turut menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat mengenai PATI.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat melindungi PATI," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!