Lori ‘suka hati’ guna lorong kanan, JPJ tingkat penguatkuasaan seluruh negara

SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan kenderaan berat yang memandu secara berterusan di lorong kanan jalan utama dan lebuh raya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan ini selaras dengan Kaedah 4A, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang melarang kenderaan perdagangan berada di lorong kanan kecuali untuk tujuan memotong.
Menurutnya, JPJ memandang serius trend melibatkan kenderaan perdagangan yang menggunakan lorong berkenaan hingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain.
"Mulai hari ini, penguatkuasaan akan dipertingkatkan di seluruh negara melalui operasi khas yang memberi tumpuan kepada kenderaan berat yang menggunakan lorong kanan secara berterusan, terutamanya di jalan-jalan utama dan lebuh raya.
“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap keselamatan jalan raya,” katanya dalam sidang media Operasi Penguatkuasaan Teknikal Kenderaan Perdagangan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah Selatan), pada Rabu.
Beliau berkata, statistik penguatkuasaan lorong kanan pada tahun 2024 mencatatkan sebanyak 800 kes bagi kategori kenderaan perdagangan yang telah dikenakan tindakan.
Sementara itu, setakat April lalu, JPJ telah mengambil tindakan terhadap 220 kenderaan yang melakukan kesalahan sama.
"Individu yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM300.
"Jika disabitkan di mahkamah, pesalah boleh didenda sehingga RM2,000 atau dipenjara sehingga enam bulan bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berulang, denda maksimum meningkat kepada RM4,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Ujarnya, JPJ komited untuk terus memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya, selaras dengan matlamat mengurangkan kadar kemalangan maut dan kecederaan sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang tahun 2030.
Justeru itu, orang awam digalakkan menyalurkan aduan kesalahan lalu lintas melalui aplikasi MyJPJ di menu e-Aduan@JPJ atau menghantar laporan melalui e-mel ke [email protected].
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa JPJ akan menjalankan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha bermula 4 Jun hingga 10 Jun 2025 dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan.
"Operasi tersebut akan menumpukan pemantauan dan pemeriksaan audit operasi bas di depoh, Ops Khas sembilan kesalahan utama, serta Ops Khas kenderaan perkhidmatan awam (bas) di terminal.
"Penguatkuasaan juga akan melibatkan kenderaan perkhidmatan barangan, motosikal dan Ops Khas Teknikal," katanya.
Ujar beliau lagi, JPJ turut akan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan-peraturan berkaitan.
"Ia meliputi memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, dan memotong barisan.
"Selain itu, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju serta membawa muatan berlebihan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!