PRN Sabah: PKR Sabah perkukuh haluan baharu dengan PH Sabah

Mustapha
Mustapha
A
A
A
KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan memperkukuhkan haluan baharu menerusi proses rundingan yang lebih membina dengan rakan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Datuk Mustapha Sakmud berkata, PKR Sabah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keyakinan yang diberikan dalam meneruskan peranan mereka dalam kepimpinan PH Sabah.

"Selaras dengan hala tuju kepimpinan baharu dan aspirasi parti, PKR Sabah akan memperkukuh haluan baru menerusi proses rundingan konstruktif bersama rakan-rakan dalam PH Sabah sehinggalah membuahkan hasil terbaik buat semua.

"Matlamat kami selaku anak-anak Sabah adalah untuk memperkasa hak dan pembelaan negeri demi memberi manfaat terbaik kepada rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau dalam pada itu menegaskan komitmen PKR Sabah terhadap prinsip perpaduan, kemajuan dan reformasi yang didokong selama ini.

"Kami bertekad untuk terus menyumbang secara positif ke arah pembangunan dan kemakmuran Sabah di bawah gabungan PH serta membuka ruang kerjasama bersama parti-parti lokal dan nasional," katanya.

Sebelum itu, Mustapha turut menyifatkan pelantikan semula beliau sebagai Pengerusi MPN Sabah adalah sebagai amanah yang besar dalam mengemudi PKR di negeri ini dalam menghadapi PRN17 yang akan menjelang tidak lama lagi.

Anwar dalam sidang akhbar pada Khamis, mengambil maklum pandangan pimpinan PH Sabah dalam menentukan hala tuju untuk membuat keputusan berkaitan PRN17.

Pengerusi PH itu berkata, pandangan itu diambil susulan keputusan untuk menyerahkan sepenuhnya pengendalian PRN kepada PH Sabah.
Artikel Berkaitan:


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!