Nurul Izzah, suami berangkat tunai haji

Nurul Izzah (tengah) dan suami dilaporkan telah berangkat ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji.
Nurul Izzah (tengah) dan suami dilaporkan telah berangkat ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji.
A
A
A

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bersama suaminya, Yin Shao Loong dilaporkan telah berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Perkara itu disahkan menerusi sebuah video ringkas yang dimuat naik di akaun TikTok penyokong beliau, ‘Nurul Izzah’s Fans’ awal pagi tadi.

Sebelum ini, dalam ucapan pada Kongres Nasional PKR yang berlangsung bulan lalu, Nurul Izzah telah menyatakan hasratnya untuk menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini.

Perjalanan ke Makkah ini turut menjadi simbolik penting selepas anak sulung kepada Perdana Menteri itu meraih kemenangan dalam pemilihan parti PKR pada 23 Mei lalu, sekali gus menewaskan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden.

Difahamkan, sejurus selesai menunaikan ibadah haji, Nurul Izzah akan kembali ke tanah air untuk memberi tumpuan penuh terhadap usaha memperkukuh hubungan sesama ahli parti dan memperhebat agenda reformasi dalaman PKR.

Langkah ini dilihat sebagai persiapan rapi jentera parti bagi menghadapi cabaran besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.

Sumber dalaman parti juga memaklumkan bahawa Nurul Izzah bakal memainkan peranan lebih besar dalam menyatukan pelbagai kelompok dalam PKR, selain memberi nafas baharu kepada gerakan politik anak muda dan akar umbi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!