Rujuk 8 persoalan undang-undang: Tiada kaitan cari imuniti, larikan diri - Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa permohonannya untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan bukan bertujuan untuk mencari imuniti peribadi atau melarikan diri daripada proses undang-undang.

Menurut beliau, permohonan tersebut melibatkan integriti sistem perlembagaan negara dan keperluan untuk melindungi jawatan awam yang tinggi daripada litigasi yang mungkin bersifat strategik, bermotifkan politik atau boleh mengganggu institusi.

"Petang ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan saya untuk merujuk lapan soalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara ini tidak pernah mengenai mencari imuniti peribadi atau melarikan diri daripada pemeriksaan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Anwar memohon Mahkamah Persekutuan untuk menjawab persoalan termasuk sama ada, mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan, menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.

Rujukan persoalan undang-undang itu berkaitan dengan saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung satu insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.

Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar selepas mendapati bahawa persoalan yang dikemukakan adalah bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman tersebut, serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan perlembagaan.

Tambah Anwar, beliau tetap komited sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan mahkamah, dan maruah tadbir urus demokrasi.

Artikel Berkaitan:

"Proses undang-undang akan diteruskan dan saya akan sentiasa melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!