Golongan B40 bukan e-kasih berpeluang miliki rumah pertama di Johor

Mohd Jafni semasa Sesi Libat Urus Pembangunan Perumahan Negeri Johor, pada Khamis.
Mohd Jafni semasa Sesi Libat Urus Pembangunan Perumahan Negeri Johor, pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Projek Rumah Prihatin Johor (RPJ) akan diperluas ke semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor bermula Ogos ini, khusus bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang tercicir daripada senarai e-Kasih memiliki rumah pertama mereka.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, langkah itu diambil susulan maklum balas dan aduan bahawa masih ramai rakyat berpendapatan rendah tidak tersenarai dalam e-Kasih dan gagal memohon rumah mampu milik kerajaan negeri.

"RPJ untuk golongan tercicir ini akan dimulakan Ogos ini dan diperluaskan ke semua DUN Johor bagi mengisi jurang bantuan perumahan, khususnya kepada mereka yang miskin tetapi tidak berdaftar dalam e-Kasih.

"Projek ini bermula di DUN Machap dan Bukit Permai sebagai perintis dan kini kerajaan negeri bersedia melaksanakannya secara menyeluruh melibatkan semua kawasan DUN.

"Rumah dibina atas tanah milik sendiri atau milik keluarga dengan surat izin, lengkap dua atau tiga bilik tidur dan siap dalam tempoh tujuh bulan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Libat Urus Pembangunan Perumahan Negeri Johor, di sini, pada Khamis.

Mohd Jafni berkata, dua pilihan ditawarkan iaitu rumah tiga bilik berharga RM86,000 dan dua bilik berharga RM66,000 di mana kedua-duanya menerima subsidi RM30,000 daripada kerajaan negeri, manakala baki ditanggung pemilik melalui pinjaman.

"Permohonan telah dibuka dan boleh dibuat di Pejabat Daerah. Proses kelulusan hanya mengambil masa tiga bulan jika memenuhi syarat ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Program ini menyasarkan mereka yang ada tanah tetapi tidak mampu membina rumah. Dengan subsidi kerajaan negeri, mereka hanya perlu menanggung RM36,000 atau RM56,000 mengikut jenis rumah," katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 500 unit Rumah Kasih Johor (RKJ) sedang dibangunkan sejak 2023 dengan peruntukan RM67.5 juta.

"Daripada jumlah itu, 50 unit telah diserahkan kepada penerima, 120 unit dalam pembinaan, dan 165 lagi di peringkat pelaksanaan.

"Kerajaan Johor kini menggerakkan dua inisiatif besar iaitu RPJ dan RKJ dalam usaha memastikan setiap keluarga berpendapatan rendah memiliki kediaman yang selesa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!