Dua individu bergelar Datuk ditahan kes jemaah haji terkandas di KLIA

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dan seorang wanita bergelar Datuk ditahan bagi membantu siasatan kes jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Selasa.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, kedua-dua individu berusia 36 dan 39 tahun itu ditahan oleh pasukan petugas Op Haji Terkandas.
"Kedua-dua suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis semalam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Muhammed Hasbullah berkata, pihaknya menafikan laporan yang mendakwa pasukan petugas Op Haji Terkandas telah menahan 80 jemaah haji yang kononnya menggunakan visa pelancong untuk ke Makkah.
"Dalam insiden yang berlaku pada Isnin, pasukan petugas tersebut telah mengesan kehadiran sekumpulan jemaah haji di KLIA yang sedang menunggu ketibaan seorang individu bergelar Datuk.
"Individu tersebut dikatakan akan menyerahkan visa yang membolehkan mereka berlepas ke tanah suci, namun visa yang dijanjikan tidak pernah diperoleh," katanya.
Beliau berkata, susulan itu, salah seorang mangsa telah membuat laporan polis mendakwa beliau dan isterinya telah menyerahkan pasport antarabangsa kepada dua individu yang menawarkan pakej haji secara percuma.
"Pakej tersebut didakwa dikendalikan oleh sebuah agensi pelancongan yang berdaftar sebagai pengelola jemaah haji bagi tahun ini.
"Mangsa dijanjikan penerbangan ke Makkah pada Ahad, namun sehingga Selasa tiada sebarang pengesahan penerbangan diterima daripada pihak syarikat berkenaan," katanya.
Menurutnya, mangsa turut menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan maklumat peribadi serta pasport antarabangsa beliau dan isterinya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Hasil semakan mendapati sebanyak tujuh laporan polis telah diterima setakat ini berkaitan penipuan tawaran haji oleh syarikat terbabit.
"Walau bagaimanapun, tiada kerugian kewangan dilaporkan memandangkan pakej haji berkenaan ditawarkan secara percuma dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan," katanya.
Muhammed Hasbullah berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran luar biasa berkaitan ibadah haji, selain memastikan sebarang urusan hanya dibuat dengan pihak yang sah dan diiktiraf oleh pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!