Penguatkuasaan, pentadbiran dan pendidikan, kunci perangi rasuah

SHAH ALAM – Isu rasuah di negara ini tidak akan dapat ditangani secara berkesan sekiranya kerajaan tidak memberi keutamaan kepada tiga sektor utama iaitu penguatkuasaan, pentadbiran awam dan pendidikan.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, pemulihan integriti dalam kalangan penguat kuasa perlu menjadi fokus utama kerana kekuatan undang-undang akan lumpuh sekiranya pelaksanaannya tidak telus dan berani.
Menurut beliau, dasar yang digubal sebaik mana pun akan gagal dilaksanakan jika penguatkuasaan lemah atau dipengaruhi kepentingan tertentu.
Katanya, pentadbiran awam juga memainkan peranan besar dalam memastikan sistem tadbir urus negara berjalan dengan cekap dan bebas daripada unsur rasuah.
"Pada masa sama, sektor pendidikan perlu diberikan perhatian serius kerana di sinilah benih nilai murni dapat disemai sejak awal.
“Pendekatan seperti memperhalusi dasar, mempercepatkan tindakan, semuanya penting tetapi pada hemat saya, paling asas dan jangka panjang adalah memastikan pendidikan anti-rasuah menjadi subjek wajib di sekolah serta universiti.
“Nilai integriti tidak boleh diajar hanya melalui ceramah atau kempen semusim, ia perlu dimasukkan dalam silibus, latihan amali, perbincangan terbuka dan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan formal negara," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan Madani amat komited menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa, tetapi pembaharuan untuk memerangi ancaman ini akan memerlukan sedikit masa untuk mencapai hasil.
Beliau menegaskan bahawa setiap bulan dan setiap tahun perlu menunjukkan kemajuan berterusan dalam usaha menangani isu berkenaan.
Dalam pada itu, Nor Halmey berkata, langkah kerajaan dalam usaha membanteras rasuah sudah berada di landasan yang betul, namun belum cukup menyeluruh.
“Kita tidak boleh mengharapkan hasil luar biasa jika pendekatan kita masih bersifat jangka pendek atau hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan.
“Perubahan mesti bersifat sistemik, termasuk reformasi pendidikan, pengurusan maklumat dan sistem perlindungan pelapor yang lebih berkesan,” ujarnya.
Jelasnya, rakyat mahu melihat bukan sahaja dasar yang bagus tetapi tindakan konsisten, pantas, dan bebas daripada pengaruh politik.
“Banteras rasuah bukan hanya soal tangkapan dan pendedahan, tetapi soal pembentukan manusia yang bebas daripada ketamakan dan ketakutan.
“Jika kita serius mahu melihat Malaysia bebas rasuah, pendidikan nilai mesti dijadikan tunjang perubahan, bukan pilihan sampingan,” kata Nor Halmey.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!