Rasuah lebuh raya: SPRM tidak lagi berlembut dengan 'jerung'

SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kediaman mewah dan sebidang tanah lot serta menyita aset milik seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri baru-baru ini jelas menunjukkan ia tidak lagi berlembut dengan golongan yang selama ini dianggap 'jerung'.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, pendekatan sedemikian membuktikan bahawa gelaran, pangkat atau kedudukan tinggi tidak boleh dijadikan perisai kebal daripada tindakan undang-undang.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya gembira dan menyokong penuh usaha SPRM memburu pelaku rasuah serta menyelamatkan wang negara daripada terus dibocori individu tidak bertanggungjawab.
“SPRM tidak boleh dilihat sekadar mengutip 'hasil kecil' daripada 'ikan bilis' dalam memerangi rasuah.
"Rakyat mahukan tindakan ke atas mereka yang benar-benar berpengaruh dan berkuasa, bukan hanya pegawai bawahan.
“Serbuan terhadap individu berprofil tinggi ini diharap menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak kes yang ditangani secara telus dan berani, bukan sekadar gimik,“ katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, enam kediaman mewah dan sebidang tanah lot milik seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri disita SPRM susulan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Terbaharu, keterangan individu bergelar Tan Sri itu telah direkodkan di kediamannya baru-baru ini.
Difahamkan, proses merakam keterangan tersebut dilakukan oleh dua pegawai penyiasat SPRM di kediaman Tan Sri berkenaan yang terletak di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.
Menurut sumber, SPRM turut melakukan serbuan di satu lagi kediaman milik Tan Sri berkenaan iaitu di Melaka.
SPRM menyita aset dalam negara sebanyak RM141 juta, manakala aset di luar negara bernilai RM15 juta sedang dikesan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pecahan sitaan itu antaranya membabitkan akaun individu sebanyak RM4.5 juta; akaun syarikat RM33 juta; kondominium mewah dan tanah RM24.5 juta; jam tangan mewah RM26 juta; sembilan unit kereta mewah RM7.65 juta serta barangan kemas dan berlian RM10 juta.
Menurutnya, barangan lain yang disita termasuk tas tangan mewah RM6 juta; jongkong, patung emas dan syiling emas bernilai RM3 juta serta empat ekor kuda bernilai RM400,000.
Kata Azam, aset-aset di luar negara yang dianggarkan berjumlah RM15 juta dalam proses pengesanan oleh pihak SPRM.
Selain itu, tambahnya, antara penggunaan wang hasil daripada aktiviti haram termasuk perbelanjaan minuman beralkohol dan aktiviti perjudian berjumlah RM25 juta.
Mengulas lanjut, Halmey berpandangan, usaha itu tidak boleh terhenti setakat serbuan atau sitaan.
Malah, menurutnya, ia mesti diteruskan sehingga ke peringkat pendakwaan dan perbicaraan di mahkamah.
“Jika benar ada penyelewengan, biarlah pesalah dihukum seadilnya. Jika tidak bersalah, biarlah sistem kehakiman membersihkan nama mereka secara sah,“ ujar beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!