Isytihar harta secara berkala mampu bendung rasuah

SHAH ALAM - Semua pemimpin, pegawai dan individu yang terlibat dalam pengurusan hasil bumi negara diwajibkan melakukan pengisytiharan harta secara berkala.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, ia tidak seharusnya menjadi sekadar formaliti di atas kertas semata-mata.
Menurutnya, sebaliknya pengisytiharan harta mesti disertakan bersama komitmen terhadap ketelusan sebenar iaitu dengan membuka maklumat tersebut kepada penelitian awam.
"Akses terbuka ini akan mewujudkan semak dan imbang yang lebih berkesan selain meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
"Apabila individu yang diberi amanah untuk mengurus kekayaan negara tahu bahawa setiap sen harta mereka boleh dipersoal dan diperiksa, ia menjadi satu bentuk pencegahan awal terhadap kecenderungan menyeleweng atau mengambil kesempatan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya dua individu akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat berhubung klip video didakwa skandal rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berhubung isu perlesenan lombong mineral.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki mengesahkan perkara itu dalam sidang media selepas satu program pada Khamis.
Menurut Mohamad Nazri, tambahan pula, dalam era digital dan keterbukaan maklumat, rakyat kini menuntut kebertanggungjawaban yang lebih tinggi daripada para pemimpin.
"Oleh itu, pendekatan telus dalam pengisytiharan harta bukan sahaja menunjukkan integriti, tetapi turut menjadi asas kepada budaya tadbir urus bersih dan beretika.
"Selain itu, setiap individu yang terbukti mengkhianati amanah rakyat melalui rasuah hasil bumi negara wajib diheret ke muka pengadilan tanpa sebarang kekebalan kuasa dan kompromi politik serta dihukum dengan hukuman setimpal dengan pengkhianatan dilakukan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya memandang serius perkembangan skandal rasuah berkaitan pelesenan lombong mineral di Sabah yang kini memasuki fasa pendakwaan.
Ujarnya, rasuah bukan sekadar pelanggaran undang-undang, ia adalah pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat, perosak kestabilan negara dan pembunuh harapan generasi muda untuk mewarisi sebuah negara yang bersih, bermaruah serta berdaya saing.
"Di saat negara bergelut memperkukuh ekonomi dan membina masa depan yang mampan, masih wujud segelintir yang sanggup menggadaikan amanah negara demi kepentingan peribadi.
"Mereka rakus mengaut hasil bumi yang sepatutnya menjadi hak bersama seluruh rakyat. Setiap kali skandal seperti ini terbongkar, luka rakyat kian dalam," katanya.
Justeru beliau berkata, Gerakan Belia 4B tidak akan berkompromi terhadap perosak negara kerana setiap hasil bumi adalah hak milik rakyat dan bukan mainan kuasa.
"Negara ini mesti dipimpin oleh mereka yang memikul amanah dengan maruah, bukan menjual kehormatan negara demi laba peribadi.
"Rasuah ini racun senyap. Hari ini mereka kenyang, esok negara menanggung derita," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!