Lelaki maut motosikal bertembung lori

BESUT – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Kampung Oh, di sini, petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohamad Ab Latif, 46, dari Kampung Kuala Kubang, maut di lokasi akibat kecederaan parah pada badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Kampung Bukit Cina dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kuala Kubang.
"Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori jenis Nissan yang datang dari arah Setiu menuju ke Lata Tembakah untuk mengambil pasir," katanya pada Selasa.

Menurut beliau, impak pelanggaran menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori, seorang lelaki tempatan, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noraini Muhammad Zin di talian 013-4384239 bagi membantu siasatan.
“Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!