[VIDEO] Hajat terakhir bertemu ibu tercapai, Sheqal 'pergi' dengan tenang - Isteri
SEREMBAN - “Tiada lagi kesakitan... arwah pergi dalam keadaan yang sangat tenang. Insya-ALLAH dia pergi dalam keadaan husnul khatimah”.
Demikian luahan isteri penyanyi popular era 90-an, Sheqal, Normah Mohd Yussof, 58, ketika ditemui di Masjid Taman Tuanku Jaafar, Senawang.

Normah berkata, dia sekeluarga reda dengan pemergian suami tercinta setelah menyaksikan penderitaan Allahyarham berakhir dengan pemergiannya dalam keadaan tenang.
"Insya-ALLAH pemergiannya dalam keadaan husnul khatimah. Semuanya telah ditentukan oleh ALLAH SWT.
"Hari ini saya lepaskan dia dengan hati yang ikhlas. Saya reda,” katanya pada Selasa.
Sheqal, atau nama sebenarnya Shahrim Salehudin, meninggal dunia pada jam 12.31 tengah hari selepas lebih seminggu dirawat di hospital.
Beliau dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun lalu dan ditidurkan dua hari kemudian akibat komplikasi kesihatan.
Penyanyi yang mencetuskan fenomena menerusi lagu-lagu seperti Gadis Sentimental dan Memori Luka itu dikenali bukan sahaja kerana vokal dan penghayatan luar biasa, tetapi juga kerana keperibadiannya yang disenangi ramai dalam industri seni.
Menurut Normah, arwah sempat menyuarakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman dan berkarya di sana, namun takdir Ilahi mendahului.
Beliau turut berkongsi bahawa ibu Allahyarham sempat melawat anaknya beberapa hari sebelum pemergian.
“Walaupun arwah dalam keadaan ditidurkan, dia tunjukkan sedikit respons. Kami tahu dia sedar mak dia ada. Dia memang teringin sangat nak jumpa. Alhamdulillah, ALLAH makbulkan hajat terakhir itu,” tambah Normah dalam keadaan sebak.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya di Tanjung Putus, Dong Raub. Jenazah dijangka tiba di sana untuk urusan pengebumian sekitar jam 5.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!