Ibu Menteri Pendidikan terima Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Saidina Abu Bakar (Tokoh al-Riduan) kepada tokoh ilmuan Islam dan perundangan terkenal iaitu Almarhumah Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor yang diwakili Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kiri) yang juga anak kepada Almarhumah Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H Peringkat Negeri Perak di Dewan Convention Casuarina, Meru pada Khamis. Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Saidina Abu Bakar (Tokoh al-Riduan) kepada tokoh ilmuan Islam dan perundangan terkenal iaitu Almarhumah Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor yang diwakili Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kiri) yang juga anak kepada Almarhumah Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H Peringkat Negeri Perak di Dewan Convention Casuarina, Meru pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Ibu kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Allahyarham Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor menerima Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq sempena sambutan Maal Hijrah Negeri Perak 1447H di sini malam ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Fadhlina yang mewakili arwah ibunya.

Siti Zalikhah menghembuskan nafas terakhir pada 9.30 pagi 16 Jun 2024 di Hospital Serdang pada usia 75 tahun.

Dilahirkan di Perak, beliau adalah balu bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil dan memiliki tujuh anak.

Siti Zalikhah merupakan Ahli Jawatankuasa Panel Kajian Syariah di bawah Majlis Fatwa Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang dipilih oleh Tabung Haji serta seorang peguam syarie dan berpengalaman dalam bidang Undang-undang Keluarga Islam.

Ketika hayatnya, beliau banyak menulis, membentang serta menterjemah karya tokoh-tokoh Islam berkaitan isu wanita dan peranan mereka daripada perspektif Islam selain kaitan antara wanita dan ilmu.

Personaliti agama Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman, 43, pula dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1447H.

Pengarah Akademi Sharifah Khasif merangkap Pengarah Pusat Tahfiz al-Quran dan Taranum Sharifah Khasif itu adalah Penasihat Bidang al-Quran di Jabatan Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau pernah dinobat sebagai Johan Tilawah Antarabangsa serta Kebangsaan dan Qariah Terbaik Keseluruhan pada 2009 selain Johan Tilawah al-Quran peringkat negeri Perak sebanyak lapan kali dari 2000 hingga 2008.

Kedua-dua penerima anugerah membawa pulang wang tunai RM15,000 yang disumbang oleh Kerajaan Negeri Perak, pakej umrah bernilai RM9,000 serta plak dan sijil.

Menyusuli pengiktirafan itu ialah Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita) yang diterima oleh Robiah Kulop Hamzah, 74, manakala Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) pula diterima oleh Muhammad Firdaus Mohamad Suki; 27, manakala Anugerah Ikon Asnaf dirangkul oleh Norzita Hamid, 44.

Anugerah Al-Quba' (Pengurusan Masjid Terbaik) pula diterima oleh Masjid Nurussalam Batu 4, Jalan Kuala Rui, Gerik manakala Anugerah Al-Baqi' (Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik) jatuh kepada Tanah Perkuburan Masjid Asy-Syakirin Sungai Setar, Parit Buntar.

Kesemua pengiktirafan melayakkan penerimanya membawa pulang wang tunai RM5,000, plak dan sijil.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Khas kepada Rafaa Ahmad Muneer, 18, dari Alor Pongsu, Bagan Serai atas pelbagai pencapaian antaranya dalam pertandingan pidato dan hafizah al-Quran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian.

Pengiktirafan tersebut melayakkan anak penjual kuih raya secara kecil-kecilan itu membawa pulang wang tunai RM5,000 serta komputer riba, plak dan sijil. - Bernama

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!