Bekas Mufti Pahang terima Anugerah Tokoh Maal Hijrah

Abdul Rahman menerima trofi daripada Tengku Muhammad Iskandar selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat. Foto Sinar Harian.
Abdul Rahman menerima trofi daripada Tengku Muhammad Iskandar selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat. Foto Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi pada Jumaat.

Anugerah disampaikan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bagi wakil rasmi Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Abdul Rahman, 72, yang dilahirkan di Kampung Lebak, Temerloh menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan itu dan menjunjung kasih ke atas kurniaan daripada pihak istana dan kerajaan negeri.

“Saya menyunjung kasih ke bawah Duli Paduka Baginda dari sejak daripada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sehinggalah kepada Tuanku Sultan Pahang (Al- Sultan Abdullah) dan Tengku Mahkota.

“Kurniaan ataupun kepercayaan daripada Tuanku dan juga kerajaan negeri Pahang khususnya Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) dan semua masyarakat dan umat Islam yang sentiasa memberi kerjasama kepada Jabatan Mufti Pahang,” katanya.

Tengku Muhammad Iskandar (tengah) bersama penerima anugerah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat. Foto Sinar Harian
Tengku Muhammad Iskandar (tengah) bersama penerima anugerah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat. Foto Sinar Harian

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tersebut di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.

Tengku Muhammad Iskandar turut hadir bersama pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.

Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya, Abdul Rahman berkata, beliau mula berkhidmat sebagai guru pada 1982 sebelum dilantik sebagai Kadi Daerah Cameron Highlands (1988–1989), Kadi Daerah Temerloh (1990–1994) dan Kadi Daerah Kuantan dari 1994 hingga 2000.

Beliau kemudian menjawat jawatan Timbalan Mufti Pahang pada tahun 2000 dan dilantik sebagai Mufti Pahang pada tahun 2008, sebelum bersara pada tahun 2023.

“Saya telah berkhidmat kepada negeri Pahang dari tahun 1982 sebagai guru, 1999 sebagai kadi dan saya dilantik menjadi Timbalan Mufti pada tahun 2000.

"Tahun 2008 saya dilantik sebagai Mufti Pahang sehinggalah tahun 2023,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memberitahu, sepanjang tempoh perkhidmatannya, Jabatan Mufti Negeri Pahang sentiasa mendapat sokongan dan bebas melaksanakan tugas tanpa gangguan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!