Pakar Nefrologi IJN dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu

KUALA TERENGGANU - Pakar Perunding Nefrologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Ghazali Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu 1447H atas sumbangan cemerlang dalam bidang perubatan selama lebih 40 tahun.
Anak kelahiran Kampung Penunjuk, Kijal, Kemaman itu menerima anugerah tersebut sempena majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang berlangsung di Wisma Darul Iman, di sini pada Jumaat.
Anugerah itu disampaikan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dr Ghazali menerima sijil penghargaan, trofi dan wang tunai RM20,000 sebagai penghargaan terhadap jasa dan kepakarannya dalam bidang Nefrologi.
Beliau menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan besar diterima sekali gus menjadi pembakar semangatnya untuk terus berusaha menyumbang kepada masyarakat.
"Saya rasa sumbangan saya tidak besar mana, namun amat bersyukur dan terharu atas anugerah ini. Ia menjadi motivasi untuk saya terus memberi khidmat kepada komuniti tempatan dan antarabangsa," katanya.
Dr Ghazali bersara daripada perkhidmatan awam pada tahun 2018 sebelum menyertai semula sektor perubatan sebagai Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Jabatan Pengurusan Penyakit Bersepadu di IJN.
Jelas beliau, kepakaran dalam negara perlu dibina supaya rakyat tidak bergantung kepada pakar luar.
"Ilmu dan kepakaran mesti dikongsi. Saya percaya jika kita ikhlas, kita boleh berkhidmat untuk semua tanpa mengira latar belakang.
"Doktor muda pula perlu menanamkan nilai ikhlas dalam perkhidmatan walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk isu penjawatan," katanya yang pernah merawat beberapa pemimpin negara.
Dr Ghazali mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kijal sebelum menerima biasiswa persekutuan ke Sekolah Menengah Dato’ Abdul Razak, Seremban.
Beliau kemudian menyambung pengajian di Exeter College, England dan seterusnya memperoleh ijazah kedoktoran MBBCh dari Royal College of Surgeons, Ireland pada tahun 1984.
Kerjaya beliau bermula sebagai doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang sebelum berkhidmat di Hospital Kuala Terengganu dan melanjutkan pengajian Sarjana Perubatan Dalaman di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1991.
Antara jawatan penting yang pernah disandang termasuk Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur, Penasihat Kebangsaan Perkhidmatan Nefrologi KKM serta Presiden pelbagai persatuan nefrologi dan transplantasi dalam dan luar negara.
Beliau juga merupakan penerima pertama Anugerah Chugh-Kirpal 2021 oleh Persatuan Nefrologi Asia Pasifik serta menjawat jawatan Presiden Persatuan Transplantasi Asia bagi tempoh 2021 hingga 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!