Saya hanyalah pencinta al-Quran - Sharifah Khasif

Sharifah khasif dinobatkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak.
Sharifah khasif dinobatkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak.
A
A
A

IPOH – Qariah negara, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Tahun 1447H/2025M.

Sharifah Khasif Fadzillah, 43, yang juga anak jati Ipoh, merupakan Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa dan Qariah Terbaik Keseluruhan 2009, menerima anugerah yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau berkata, anugerah tersebut didedikasikan buat ayahnya, Allahyarham Syed Mohd Badiuzzaman Syed Lope Al-Yahya, yang menjadi pendorong untuk mencintai Kalamullah.

“Ayahanda pernah berpesan supaya jangan tinggalkan al-Quran dan sekiranya menjadi ahli al-Quran, apa yang kita hajati pasti akan ditunaikan, inilah kebesaran-Nya.

“Saya bukan individu yang hebat, saya hanyalah pencinta al-Quran. Ini adalah satu pengiktirafan bahawa betapa besarnya keagungan al-Quran yang mana kita angkat seikhlas hati, Allah sendiri akan martabatkan seseorang itu,” katanya.

Menurut Pengarah Akademi Sharifah Khasif itu, beliau mahu meneruskan matlamatnya dalam melahirkan generasi muda yang mencintai al-Quran.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ar Ridzuan kepada Allahyarham Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor, yang merupakan ibu kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin menyampaikan Anugerah Tokoh Ar Ridzuan kepada Fadhlina yang mewakili ibunya, Allahyarham Dr Siti Zalikhah pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Tahun 1447H/2025M.
Sultan Nazrin menyampaikan Anugerah Tokoh Ar Ridzuan kepada Fadhlina yang mewakili ibunya, Allahyarham Dr Siti Zalikhah pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Tahun 1447H/2025M.

Fadhlina berkata, keluarganya menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Perak atas pengiktirafan kepada Allahyarham ibunya yang berasal dari Pengkalan Hulu.

“Anugerah ini mewakili semua khususnya pendidik kerana beliau seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pejuang kepada undang-undang syariah di negara ini kerana itulah kepakaran beliau.

“Selain itu, beliau sentiasa mengangkat tema pemberdayaan wanita dalam semua aspek, khususnya pendidikan, perjuangan hak-hak wanita Islam dan kekeluargaan.

“Jadi kami adik-beradik dan keluarga sangat berterima kasih atas anugerah ini dan perjuangan Allahyarham masih diteruskan oleh anak-anak muridnya,” katanya.

Penganugerahan itu membolehkan penerima menerima wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil.

Selain itu, beberapa anugerah lain turut disampaikan iaitu Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita), Dr Robiah Kulop Hamzah; Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) kepada Muhammad Firdaus Mohamad Suki dan Ikon Asnaf,Norzita Hamid.

Anugerah Al-Quba (Pengurusan Masjid Terbaik) pula diterima Masjid Nurussalam, Batu 4, Jalan Kuala Rui, Gerik manakala Anugerah Al-Baqi (Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik) pula disampaikan kepada Tanah Perkuburan Masjid Asy-Syakirin, Parit Buntar.

Anugerah tersebut membolehkan lima penerima menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, sijil dan plak.

Pada majlis sama, hafizah al-Quran, Rafaa Ahmad Muneer dari Alor Pongsu, Bagan Serai pula menerima Anugerah Khas dengan membawa pulang wang tunai RM5,000, komputer riba sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), plak dan sijil.

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!