Kerajaan dicadang wujudkan talian aduan salah laku penguat kuasa

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menubuhkan satu talian khas yang dikendalikan oleh badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi mengendalikan aduan salah laku pegawai penguat kuasa.
Timbalan Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Muhammad Mukmin Nusril berkata, langkah itu penting bagi memastikan kes berkaitan jenayah sensitif seperti rogol disiasat secara telus dan tidak dimanipulasi.
“Seorang pegawai penguat kuasa yang sepatutnya melindungi rakyat, terlibat pula dalam dakwaan meminta rasuah dalam kes jenayah serius seperti rogol.
“Ini bukan sekadar isu integriti individu, tetapi ia mencerminkan ada kelompangan sistem pengawasan dan ketelusan dalam agensi penguatkuasaan.
“Kes sebegini perlu disiasat dengan telus dan dipandang serius kerana ia mencabar kepercayaan masyarakat terhadap keselamatan serta keadilan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, seorang pegawai polis berpangkat inspektor direman tiga hari bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta rasuah RM10,000 daripada keluarga mangsa kes rogol.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan.
Dalam pada itu, Muhammad Mukmin berkata, pihaknya amat bimbang dan kecewa dengan laporan melibatkan dakwaan pegawai penguat kuasa meminta rasuah dalam kes rogol kerana ia memberi kesan besar terhadap mangsa serta sistem keadilan.
“Rasuah dalam pasukan polis boleh menghancurkan keseluruhan proses keadilan. Bila pegawai yang diberi kuasa menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi, siasatan kes boleh dimanipulasi, bukti boleh hilang dan pelaku jenayah boleh terlepas.
“Dalam kes seperti ini, ia memberi kesan sangat besar kepada mangsa yang mungkin sudah pun alami trauma mendalam. Lebih parah lagi, ia menjadikan pencegahan jenayah seksual sukar dilaksana kerana masyarakat tidak lagi percaya untuk melaporkan kes. Ini bukan sekadar kegagalan individu, tetapi kegagalan sistem jika tidak ditangani secara serius,” ujarnya.
Jelasnya, jika perkara seperti itu tidak ditangani, mangsa bukan sahaja tidak mendapat keadilan tetapi dikhianati oleh sistem yang sepatutnya melindungi mereka.
“Perlu ada pengawasan dalaman yang benar-benar bebas dan berfungsi, bukan sekadar atas kertas. Perlu juga ada latihan khas untuk pegawai dalam menangani kes sensitif, supaya mereka faham trauma mangsa serta tanggungjawab besar yang dipikul,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!