Presiden termiskin dunia Jose Mujica meninggal dunia

MONTEVIDEO – Jose Mujica, bekas Presiden Uruguay dan ikon global kesederhanaan dalam politik, meninggal dunia pada usia 89 tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Presiden Uruguay, Yamandú Orsi, mengumumkan pemergian Mujica pada Selasa.
“Kami akan sangat merindui kamu, insan yang amat dikasihi. Terima kasih atas segala yang telah kamu berikan kepada kami dan atas kasih sayang mendalammu terhadap rakyat,” kata Orsi dalam satu hantaran di platform media sosial X.
Bekas presiden itu sekian lama berjuang melawan kanser esofagus yang telah merebak dan tidak lagi dapat dirawat.
Mujica menjadi Presiden negara kecil di Amerika Selatan itu dari tahun 2010 hingga 2015.
Bekas pejuang gerila ini mendapat perhatian dunia kerana gaya hidupnya yang sederhana, sehingga digelar sebagai “presiden termiskin di dunia” dan menjadi tokoh yang dihormati dalam kalangan haluan kiri di Amerika Latin.
Di bawah kepimpinannya, Uruguay mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan pengurangan kadar kemiskinan yang ketara.
Mujica turut melaksanakan pelbagai pembaharuan sepanjang pemerintahannya, termasuk menerima bekas tahanan Guantanamo sebagai pelarian. Beliau juga memulakan penggubalan undang-undang yang menghalalkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi, menjadikan Uruguay negara pertama di dunia yang melakukannya.
Sepanjang tempoh beliau memegang jawatan, Mujica mendermakan sebahagian besar gajinya kepada badan kebajikan, tinggal di sebuah rumah ladang di pinggir bandar Montevideo, dan memandu sebuah kereta Volkswagen Beetle yang usang.
Dalam satu wawancara pada Januari lalu bersama akhbar mingguan Busqueda, beliau berkata: “Saya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada rakyat negara ini. Asas demokrasi adalah menghormati mereka yang berfikiran berbeza. Saya menghargai semua orang.” - Bernama-dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!