Aaron-Wooi Yik tawan Thailand

Aaron (kiri) dan Wooi Yik muncul juara Terbuka Thailand setelah menumpaskan pasangan Denmark dalam aksi final di Bangkok pada Ahad. Foto Agensi.
Aaron (kiri) dan Wooi Yik muncul juara Terbuka Thailand setelah menumpaskan pasangan Denmark dalam aksi final di Bangkok pada Ahad. Foto Agensi.
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gelaran kedua pada musim ini apabila muncul juara Terbuka Thailand dalam aksi penuh debar di Bangkok sebentar tadi.

Kemenangan tersebut bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila gandingan nombor lima dunia itu dipaksa bekerja keras oleh pasangan muda Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer sehingga ke saingan set penentuan.

Dalam aksi di Stadium Nimibutr tersebut, Aaron-Wooi Yik bermula baik apabila memimpin permainan pertama 18-17.

Bagaimanapun gandingan di kedudukan ke-75 dunia itu memintas mata pasangan negara sebelum menang 22-20 pada set pertama.

Enggan berputus asa, Aaron Wooi Yik memperkemaskan corak permainan mereka untuk menewaskan Kryger Boe-Faust Kjaer 21-17 bagi mengheret aksi ke set perlawanan penentuan.

Tenang mengawal gelanggang dan kelebihan pengalaman di pentas antarabangsa memastikan kelebihan berpihak Aaron-Wooi Yik yang mengesahkan kemenangan 21-12 dalam tempoh sejam permainan.

Kejayaan tersebut menambah koleksi kejuaraan mereka setelah meraih gelaran Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bulan lalu.

Menerusi kejayaan tersebut, Aaron-Wooi Yik membawa pulang AS$37,525 (RM161,191), manakala pasangan Denmark pula meraih AS$18,050 (RM77,535).

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik pernah mara ke final Terbuka Thailand pada tahun 2020, namun tewas di pentas final kepada beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Kejayaan itu juga menyuntik semangat mereka menjelang Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu depan.

Sebagai rekod, mereka baru sahaja dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 atas kejayaan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!