[VIDEO] Tunku Mahkota Ismail kecewa, ada pihak takut terima perubahan

A
A
A

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pihak yang terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing sehingga takut menerima perubahan dan enggan belajar daripada kejayaan luar negara.

Dalam satu sidang akhbar petang tadi, Tunku Mahkota Ismail turut mempersoalkan mentaliti segelintir penyokong dan penggiat bola sepak tanah air yang cepat melatah terhadap sebarang usaha pembaharuan yang dilaksanakan.

Baginda menegaskan bahawa sebarang kejayaan memerlukan masa, ruang dan sokongan konstruktif daripada semua pihak.

“Kalau kita benar-benar minat bola sepak negara, dan mahukan pembangunan serta peningkatan dalam program sedia ada, kita harus beri sokongan dan ruang kepada mereka yang diberi tanggungjawab.

“Tapi ada orang tak mahu lihat gerakan ini berjaya,” titah baginda dalam sidang akhbar berkenaan.

Mengulas mengenai pelantikan pengarah teknikal baharu yang sebelum ini diisi oleh individu dari luar negara, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat demi mendapatkan pengalaman dan kepakaran luar untuk digabungkan bersama pengetahuan tempatan.

Tunku Mahkota Ismail
Tunku Mahkota Ismail

“Perubahan dalam sukan bola sepak tidak hanya bergantung kepada pelaburan kewangan, tetapi juga kepada cara pengurusan dan kesungguhan untuk memperbaiki sistem.

Artikel Berkaitan:

“Dalam soal ini, JDT akan sentiasa menjadi pelopor dalam membawa standard baharu dalam bola sepak tempatan, dan akan terus menyokong pembangunan pasukan kebangsaan.

“Dari segi pemain, keutamaan seharusnya diberikan kepada pemain yang komited dan mempunyai pertalian dengan negara (pemain warisan), tanpa mengira warna kulit mahupun asal-usul, asalkan mereka memberikan sepenuh dedikasi terhadap skuad kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Tunku Mahkota Ismail turut menyelar segelintir pihak yang menyalahkan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan menabur pelbagai naratif negatif terhadap kelab tersebut, walhal kelemahan sebenar terletak pada pengurusan dalaman pasukan-pasukan lain yang gagal mengurus kewangan serta kebajikan pemain dan staf dengan baik.

Baginda menegaskan bahawa semua pihak perlu berfikiran lebih rasional dan tidak terus hanyut dengan emosi serta sentimen sempit yang merugikan kemajuan bola sepak tanah air.

“Macam mana awak tak boleh urus kewangan, tak jaga kebajikan staf dan pemain, tapi salahkan JDT? Fakta jelas depan mata. Tapi penyokong boleh pula percaya cerita dongeng.

“Kita suka bercakap tentang improvement, tapi tak tahu cabaran sebenar untuk melakukan perubahan.

“Saya malu bila negara jiran tengok kita macam ini,” titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!