Tak adil salahkan TMJ, JDT

TIDAK adil untuk menyalahkan dominasi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sebagai punca ada pasukan yang mahu menarik diri.
Jurulatih berpengalaman Raja Isa Raja Akram Shah berkata, semua pihak tidak seharusnya menunding jari dan berhenti bercakaran, sebaliknya perlu bekerjasama membangunkan bola sepak Malaysia.
“Pada saya, menyalahkan JDT dan TMJ (Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail) 100 peratus adalah tidak adil.
"Ketika kelab JDT bermula pada 2013, siapa yang menyangka JDT akan sekuat ini? Saya fikir ada pihak yang mentertawakan JDT pada awal penubuhan kelab ini kerana mereka juga kalah pada awalnya.
“Mereka juga melalui proses pembinaan kelab dari bawah dengan visi dan misi yang jelas. Apabila mereka mula berjaya termasuk memenangi Piala AFC pada 2015, apa yang kelab ini lakukan adalah melabur pada pembangunan kelab, fasiliti latihan dan stadium," katanya.
Beliau juga memberikan contoh pasukan lain yang turut berjaya dalam saingan liga pada satu ketika dahulu tetapi tidak ada perancangan untuk membangunkan pasukan seperti JDT.
"Tapi kelab lain yang besar dan berjaya menguasai Liga Malaysia sebelum ini seperti Selangor, Pahang, Kedah, Kelantan, apa yang mereka lakukan?
“Ketika mereka berjaya, mereka ada peluang untuk melakukan apa yang JDT buat sekarang, tetapi mereka tidak buat.
"Sampai sekarang tidak ada stadium sendiri malah padang latihan sendiri pun tiada, tapi kita salahkan JDT bila mereka berjaya.
“Kita jangan hanya bercakap pasal duit saja, tapi kita kena lihat bagaimana kelab itu dibangunkan,” katanya.
Sebelum ini, saingan Liga-M didakwa kurang kompetitif susulan dominasi berterusan JDT sekali gus menyaksikan ada gesaan pihak tidak bertanggungjawab memboikot liga.
Lebih memburukkan keadaan liga musim depan apabila terdapat beberapa pasukan gergasi seperti Kedah Darul Aman FC dan Perak FC yang dilaporkan mahu menarik diri dari Liga Super kerana berdepan masalah kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!