Li Jane terlepas gelaran ‘Triple Crown’

Li Jane (kanan) dan Nur Hazirah berada dalam kelompok empat terbaik Kejohanan USBC Queens di AS. Foto MTBC
Li Jane (kanan) dan Nur Hazirah berada dalam kelompok empat terbaik Kejohanan USBC Queens di AS. Foto MTBC
A
A
A

RATU boling negara, Sin Li Jane terlepas peluang untuk melakar sejarah sebagai pemain Malaysia pertama meraih gelaran ‘Triple Crown’ Jelajah Profesional Boling Wanita (PWBA) dalam aksi final Kejohanan USBC Queens di Amerika Syarikat (AS).

Atlet berusia 33 tahun itu tewas 198-211 kepada pilihan utama tuan rumah, Josie Barnes dalam perlawanan penentuan di Suncoast Bowling Centre, Las Vegas pada Rabu.

Pemain kelahiran Ipoh, Perak itu sudah merangkul dua mahkota utama iaitu Terbuka Wanita AS serta Kejohanan Jelajah PWBA musim lalu dan kemenangan di Queens bakal melengkapkan koleksi berprestij itu.

Bagaimanapun, aksi konsisten yang ditampilkan sepanjang kejohanan sudah cukup membuktikan kematangan dan daya juangnya apabila kemenangan hanya disahkan pada balingan terakhir.

“Saya bangga dengan apa yang dicapai pada kejohanan Queens ini. Banyak perlawanan saya menang sehingga ke frame terakhir. Ia satu kejohanan yang sangat mencabar. Layak ke final TV (lima teratas) sudah satu pencapaian besar.

“Secara peribadi, dalam tempoh sebulan saya menang Terbuka Malaysia, tempat keenam di Topeka dan sekarang naib juara di Queens. Sebagai pemain boling, ini adalah kedudukan yang sangat membanggakan,” kata Li Jane.

Sebagai rekod, kali terakhir Li Jane mara ke final kejohanan ini ialah pada edisi 2016, namun pencapaian kali ini lebih manis apabila rakan senegara, Nur Hazirah Ramli turut menghadirkan kejutan dengan meraih tempat ketiga.

Nur Hazirah yang membuat debut dalam kejohanan itu tewas 211-235 kepada Li Jane dalam separuh akhir selepas memperagakan persembahan luar biasa selaku pilihan kedua.

Artikel Berkaitan:

Li Jane membawa pulang AS$30,000 (RM128,500), manakala Nur Hazirah meraih AS$22,000 (RM94,200).

Selepas ini, kem kebangsaan memberi tumpuan kepada tiga lagi siri Jelajah PWBA musim panas bermula hujung bulan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!