Mengapa melihat JDT sebagai ancaman?

JDT dan Perak antara pasukan yang menyahut cabaran saingan Liga-M 2024-2025. Foto: Perak FC (Gambar kecil: Zulakbal)
JDT dan Perak antara pasukan yang menyahut cabaran saingan Liga-M 2024-2025. Foto: Perak FC (Gambar kecil: Zulakbal)
A
A
A

PERSEPSI negatif yang dilemparkan terhadap saingan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini tidak akan membantu pembangunan bola sepak negara yang amat memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua pihak bagi terus maju ke hadapan.

Malah, penganalisis sukan tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim, menegaskan situasi yang berlaku kebelakangan ini dikhuatiri akan memberi kesan tidak langsung terhadap pemegang taruh dalam industri bola sepak tempatan.

“Kita dapat lihat pelbagai persepsi buruk dilemparkan terhadap Liga Malaysia sedangkan keadaan sebenar tidak seperti yang digambarkan. Saya hairan bagaimana timbul isu kelab menarik diri daripada liga sedangkan keputusan berhubung kelayakan mendapatkan Lesen Kebangsaan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi musim depan belum lagi diumumkan.

“Bagaimana sesebuah kelab boleh dikatakan menarik diri sekiranya lesen pun belum diperoleh? Sekiranya sesebuah kelab tidak mendapat lesen, itu bermakna mereka gagal memenuhi kriteria pelesenan yang telah ditetapkan oleh MFL dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), bukannya menarik diri secara sukarela. Lesen itu asas kepada status profesional mereka,” katanya.

Zulakbal menjelaskan bahawa kriteria pelesenan seperti aspek kewangan, pengurusan dan kemudahan infrastruktur adalah setaraf dengan piawaian liga-liga luar negara.

Justeru, jelasnya, jika Malaysia gagal mematuhi standard tersebut, bola sepak negara akan terus ketinggalan.

Pemegang Diploma Kejurulatihan Profesional AFC itu berkata, bola sepak negara masih mempunyai harapan untuk berkembang jika semua pihak mengambil pengajaran daripada kejayaan negara seperti Jepun dan Korea Selatan dalam membangunkan industri sukan itu.

“Tidak salah kita menoleh ke belakang untuk mengambil iktibar daripada sejarah. Dahulu, pasukan negara pernah layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980. Pada waktu itu, Jepun dan Korea Selatan menghantar pegawai mereka ke Malaysia untuk menimba ilmu dalam bidang bola sepak.

Artikel Berkaitan:

“Semangat untuk maju serta sikap merendah diri untuk belajar merupakan antara kunci utama kejayaan negara-negara tersebut. Jadi, mengapa kita tidak boleh mempunyai semangat yang sama untuk memperbaiki diri dan menimba ilmu daripada kelab-kelab yang berjaya?” ujarnya.

Tambah beliau, kelab-kelab di Malaysia sewajarnya mencontohi kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah menunjukkan kemajuan luar biasa dan mula memberi saingan kepada kelab-kelab ternama di peringkat Asia.

“Mengapa melihat JDT sebagai ancaman? Sepatutnya, kita belajar daripada model pengurusan kelab mereka dan berusaha untuk menjadi lebih baik. Bukan mengambil jalan mudah dengan menarik diri daripada saingan liga.

“Kelab perlu bangkit dan tidak mudah mengalah. Jika kelab seperti Pulau Pinang FC, Kuching City FC dan Negeri Sembilan FC masih mampu bertahan dan bersaing, mengapa tidak kelab-kelab lain juga berbuat demikian?” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang usaha untuk memboikot Liga Malaysia bukan sahaja tidak produktif, malah akan merugikan pelbagai pihak termasuk pemain, pegawai pasukan, petugas perlawanan, petugas stadium, malah peniaga kecil yang bergantung kepada penganjuran perlawanan untuk menjana pendapatan.

“Jangan jadikan sentimen atau emosi sebagai alasan untuk merosakkan ekosistem bola sepak negara. Kita seharusnya membina, bukan meruntuhkan,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!