'Kita setakat bercakap saja'- TMJ

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa kecewa terhadap mentaliti segelintir pihak yang dilihat masih ketinggalan dalam usaha membangunkan sukan bola sepak tanah air.
Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor bertitah bahawa mentaliti sesetengah pihak masih mundur, terutamanya dalam soal penerimaan terhadap kepakaran luar negara, termasuk pemain warisan yang kini digunakan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.
“Semua bercakap macam kita ni juara Piala Dunia. Nak perubahan tetapi mentaliti masih zaman purba,” titah baginda menerusi satu hantaran di laman sosial X.
Tunku Mahkota Ismail turut membandingkan kemajuan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam dalam pembangunan bola sepak masing-masing.
“Indonesia, Thailand, Vietnam dah jauh. Semua naik taraf fasiliti bola dan ambil kepakaran luar negara. Kita setakat bercakap saja,” titah baginda lagi.
Sebelum ini, legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh, menyuarakan rasa kurang senang terhadap pendekatan yang digunakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melantik ramai tenaga kepakaran dari luar sehingga seolah-olah mengenepikan bakat tempatan.
Beliau juga mengkritik pengambilan ramai pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya yang dilihat sebagai langkah mengejar kejayaan segera.
Ketika ini, skuad kebangsaan sedang berada dalam fasa revolusi dalam usaha untuk meletakkan nama Malaysia setanding pasukan bola sepak lain di peringkat serantau dan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!