Perpustakaan Digital imarah masjid

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi berkata, dua masjid kini menjadi perintis kepada projek tersebut iaitu Masjid Imaniah di Jalan Bemban di sini dan Masjid An-Nur di Kampar.
Menurutnya, pelaksanaan projek di Masjid Imaniah menyaksikan lima komputer riba disalurkan melalui kerjasama dengan Digital Perak Corporation Holding manakala pihak masjid menyediakan ruang khas serta sambungan internet untuk kemudahan ahli kariah.
“Kita mahu membawa pendigitalan dan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hingga ke peringkat masyarakat akar umbi termasuk di masjid. Alhamdulillah, Masjid Imaniah kini mempunyai lima komputer riba, sambungan internet dan pelbagai kelas ICT untuk manfaat penduduk setempat.
“Masjid An-Nur pula menerima sumbangan tujuh komputer daripada sektor korporat. Kini kedua-dua masjid itu beroperasi sepenuhnya sebagai Perpustakaan Digital,” katanya.

Menurutnya, langkah itu bertujuan menggalakkan lebih ramai masyarakat, terutamanya golongan muda mendekati masjid dengan mengintegrasikan elemen keilmuan dan kemahiran digital.
“Ini satu pendekatan baharu yang membuka ruang untuk masjid menjadi hab pembelajaran dan pembangunan masyarakat.
“Kita juga sedang berbincang dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) untuk memperluas program ini ke lebih banyak masjid,” katanya.
Beliau turut menyeru sektor korporat dan orang ramai agar tampil menyumbang kepada inisiatif tersebut, khususnya dalam bentuk peralatan teknologi seperti komputer riba, untuk memperkasakan lebih banyak masjid di seluruh negeri.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Imaniah, Dr Abd Nasir Matori menyambut baik usaha tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah positif dalam mengimarahkan masjid serta menarik minat anak muda.
“Selain lima komputer riba yang diterima, kita bakal terima tambahan lima lagi daripada ahli kariah yang ingin menyumbang.
“Pihak masjid akan terus menambah baik kemudahan sedia ada supaya memberi lebih manfaat kepada masyarakat dan mendekatkan mereka dengan teknologi,” ujarnya.
Perpustakaan Digital Masjid bukan sekadar selari dengan teras pendidikan dan teknologi dalam pelan Perak Sejahtera 2030 malah menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan rohani masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!