Naik umur persaraan sekat peluang orang muda

Armada menyifatkan cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun berisiko menjejaskan peluang pekerjaan golongan muda. Gambar kanan: Muhammad Airil Fitri
Armada menyifatkan cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun berisiko menjejaskan peluang pekerjaan golongan muda. Gambar kanan: Muhammad Airil Fitri
A
A
A

IPOH - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun sebagai langkah yang tidak sesuai dan berisiko menjejaskan peluang pekerjaan golongan muda.

Exco Armada Bersatu, Muhammad Airil Fitri Jalalludin berkata, kerajaan seharusnya menumpukan perhatian kepada isu pengangguran belia dan graduan yang masih membelenggu negara, berbanding mengemukakan cadangan yang boleh memburukkan lagi keadaan pasaran kerja.

Menurutnya, Armada Bersatu berpandangan bahawa keutamaan dasar negara perlu diberikan kepada usaha menyelesaikan pengangguran graduan dan belia, penciptaan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi serta merapatkan jurang antara sistem pendidikan dan keperluan pasaran kerja sebenar.

“Cadangan seperti ini memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak peka terhadap keresahan anak muda hari ini, sedangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun masih tinggi iaitu 10.4 peratus pada tahun 2024.

“Sementara itu, bagi kumpulan umur 15 hingga 30 tahun pula, kadar pengangguran mencecah 6.2 peratus. Ini bukan angka kecil, ia mewakili ratusan ribu anak muda yang sedang mencari arah hidup,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Ketua Biro Graduan Muda, Mahasiswa dan Undi 18 Armada Bersatu berkata, isu ketidakpadanan antara kemahiran dan pekerjaan turut menjadi kebimbangan utama, memandangkan lebih satu pertiga graduan di negara ini memulakan kerjaya dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka.

Katanya, pasaran kerja tempatan gagal berkembang seiring dengan pertambahan jumlah graduan saban tahun dan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi masih tidak mencukupi.

“Dalam suasana sebegini, menaikkan umur persaraan hanya akan menyempitkan lagi laluan masuk anak muda ke dalam pasaran kerja.

Artikel Berkaitan:

“Ia boleh menambah kadar pengangguran dan menghakis keyakinan generasi muda terhadap masa depan ekonomi negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Airil Fitri berkata, sebarang perubahan besar seperti cadangan menaikkan umur persaraan wajib perlu dibincangkan secara terbuka dan menyeluruh melibatkan suara anak muda, pakar pendidikan, pemain industri serta organisasi belia.

“Cadangan tidak seharusnya dibuat hanya berdasarkan perbandingan dengan negara lain tanpa mengambil kira realiti ekonomi dan sosial Malaysia.

“Kami akan terus menjadi suara anak muda dan menolak sebarang dasar yang menjejaskan peluang pekerjaan serta masa depan generasi akan datang,” katanya.

Pada Selasa, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

Azalina yang menyuarakan pandangan peribadinya berkata, adalah satu kerugian apabila individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!